Bekas ADUN Rantau Abang meninggal dunia - Utusan Malaysia

Bekas ADUN Rantau Abang meninggal dunia

ZA'ABAR MOHD. ADIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).Rantau Abang, Datuk Za’abar Mohd. Adib, meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Tanjung Jara, di sini, hari ini.

Anaknya, Shafiq Za’abar, 35, berkata, bapanya yang berusia 70 tahun itu meninggal dunia selepas terjatuh di bilik solat di kediamannya itu pada pukul 1.30 tengah hari tadi.

“Ketika kejadian, abah hanya berseorangan di rumah. Saya bekerja di Bandar Dungun dan tergerak hati nak balik tengok abah ketika waktu rehat tengah hari tadi.

“Sebaik sahaja saya sampai, memang terkejut tengok abah terjatuh di bilik solatnya dan di lengannya ada alat tekanan darah.

“Mungkin abah baru selepas solat Zuhur, kerana menjadi kelazimannya selepas solat, dia akan memeriksa tekanan darah,” katanya ketika ditemui di sini, petang ini.

Anak kedua daripada tiga adik beradik itu berkata, bapanya pernah mengalami masalah jantung tersumbat beberapa tahun lalu, namun rekod kesihatannya semakin baik.

Shafiq berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika kali terakhir mereka bertemu pada Jumaat lalu.

“Sebelum ini saya tinggal bersama Abah. Namun, isteri saya sedang berpantang di rumah mertua di Kuala Terengganu, jadi saya berulang alik menemani isteri dan Abah di Tanjung Jara,” katanya.

Menurutnya, bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Pintasan selepas solat Isyak, malam ini.

Za’abar yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, pernah memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri dari 2008 hingga Julai 2010.

Beliau selepas itu dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam pada Julai 2010 hingga 2013 ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya