PETALING JAYA: Reformasi institusi kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya ia perlu dikaji dan diteliti terlebih dahulu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) Parlimen, William Leong Jee Keen berkata, kesemua reformasi institusi yang terlibat perlu diperhalusi.
Sehubungan itu katanya, dakwaan bekas Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan kononnya reformasi institusi kerajaan adalah perlahan, tidak betul kerana ia perlu ambil kira semua faktor sebelum diluluskan.
“Apakah yang beliau maksudkan dengan perlahan? Semuanya hendak dibuat dengan cepat tetapi sebelum itu ia perlu dikaji dan diteliti,” katanya.
Tambah Jee Keen, semua perkara ke arah proses itu sedang dilakukan perbincangan.
“Kita telah buat dengan cara ambil kira semua faktor. Peruntukan dan Rang Undang-undang hendak diteliti dan juga adakan pertemuan dengan orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana akhirnya yang penting ialah rakyat menerima dasar itu.
“Walaupun kerajaan esok meluluskan RUU tetapi tidak diterima oleh rakyat, ia akan menjadi sia-sia. Yang penting ialah penerimaan rakyat berkenaan dasar itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Ambiga perlu bersikap adil khususnya kepada Anwar dan kerajaan perpaduan.
“Tidak boleh dalam satu tahun semua perlu dibuat, negara ini sudah rosak berpuluh tahun,” katanya.
Tambah Hassan, banyak perkara yang baik telah kerajaan lakukan tetapi reformasi bukan sahaja berkaitan hal undang-undang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh pula berkata, Anwar melalui Kerajaan Perpaduan telah banyak melakukan reformasi dan pelaksanaan perubahan sepanjang pentadbirannya.
Mengulas lanjut berkenaan cadangan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen, beliau berkata, terdapat keperluan untuk melakukan perkara itu cuma perlu dilihat kebebasan SPRM.
“Kita perlu lihat pengaruhnya daripada pihak eksekutif, SPRM melaporkan kepada Parlimen tetapi mahu lapor pada siapa? Siapa yang akan melantik? Bagaimana proses pelantikan?,” soalnya. – UTUSAN









