Wang ‘salam kaut’ juga boleh dianggap sogokan

Wang ‘salam kaut’ juga boleh dianggap sogokan

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang bentuk pemberian termasuk wang oleh calon ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh dianggap sebagai sogokan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, walaupun ada dakwaan pemberian itu sekadar ‘wang salam kaut’, ia tidak mengubah hakikat bahawa sebarang bentuk imbuhan yang diberikan kepada pengundi dalam tempoh berkempen boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk penyogokan.

Menurutnya, Akta Kesalahan Pilihan Raya memperuntukkan bahawa sebarang pemberian, sama ada wang, hadiah atau apa-apa bentuk imbuhan yang bertujuan mempengaruhi seseorang supaya mengundi atau tidak mengundi mana-mana calon adalah satu kesalahan.

“Sebarang bentuk pemberian termasuk wang dikira sebagai penyogokan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Mereka (calon) sepatutnya sudah tahu perkara ini yang jelas perbuatan ini salah di sisi undang- undang apabila sogokan wang diberi kepada pengundi,”  katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau justeru menyeru mana-mana saksi mempunyai maklumat mengenai kejadian sedemikian perlu segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya siasatan dapat dijalankan.

Jelasnya, perkara itu perlu diberi perhatian serius memandangkan ketika ini proses pilihan raya sudah memasuki fasa berkempen dan semua calon serta penyokong perlu mematuhi undang-undang bagi memastikan proses demokrasi berlangsung secara bersih, adil dan bebas daripada sebarang unsur rasuah atau sogokan.

“Selain itu, mereka juga boleh melaporkan kepada kami sekiranya ternampak sebarang salah laku semasa tempoh pilihan raya,” katanya.

Tular satu video di media sosial sejak semalam menunjukkan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Semerah, Mohd. Khuzzan Abu Bakar menghulurkan wang dalam satu majlis kenduri namun terdapat dakwaan ia hanyalah sekadar salam kaut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×