Bersih gesa pinda Akta Kesalahan Pilihan Raya 

Bersih gesa pinda Akta Kesalahan Pilihan Raya 

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendedahan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Sanusi Md Nor berhubung perbelanjaan sebanyak RM1 juta untuk memenangi kerusi Parlimen memberi petunjuk kemungkinan parti poitik berbelanja melebihi had yang dibenarkan undang-undang.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih) dalam satu kenyataan berkata, perkara tersebut berlaku ekoran kelemahan dan kelompongan peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, perkara ini sekaligus mencetuskan persoalan terhadap kredibiliti ahli politik khususnya mereka yang terlibat sebagai penggubal undang-undang di Parlimen.

“Bersih ingin memperingatkan kepada semua pihak terutamanya parti-parti politik bahawa Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan had belanja pilihan raya bagi pilihan raya Dewan Rakyat adalah sebanyak RM200,000 dan Dewan Undangan Negeri adalah sebanyak RM100,000.

“Selain perbelanjaan pilihan raya, sumber kewangan atau dana parti politik dan calon-calon pilihan raya juga menjadi persoalan. Persoalan sumber dana parti politik adalah isu yang sama penting dengan bagaimana mereka membelanjakan dana tersebut, umumnya menjelang musim pilihan raya dan terutamanya lagi ketika kempen pilihan raya sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Sanusi berkata, kos mempertahankan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka mencecah sehingga RM1 juta pada masa akan datang sekiranya gagal menguasai penggunaan teknologi.

Dalam pada itu, Bersih  menggesa agar kerajaan segera meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 bagi menambah baik mekanisme peraturan dan undang-undang yang bersangkut pilihan raya, pembiayaan dan perbelanjaan parti politik serta calon pilihan raya

“Akta ini perlu segera dipinda dan dimodenkan, terutama untuk memastikan sumber dan perbelanjaan pilihan raya yang lebih telus.

“Seksyen 19 untuk had belanja pilihan raya perlu disemak semula untuk mencerminkan kos-kos semasa seperti kos harga barang, sewa pejabat, pengangkutan dan sebagainya. Selain itu, Seksyen 23 dan 24 juga perlu dipinda untuk mewajibkan keperluan audit perbelanjaan pilihan raya oleh calon dan parti politik,” katanya.

Bersih dalam masa yang sama turut menggesa kerajaan agar  menggubal Akta Pembiayaan Politik untuk mengawal selia sumbangan politik termasuk badan kawal selia, had derma, penyumbang, mekanisme penerimaan serta hukuman sekiranya melanggar akta ini.

“Had derma perlu ditetapkan, sebagai contoh cadangan daripada Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai pendanaan politik supaya had RM50,000 untuk individu dan RM100,000 daripada syarikat.

“Selain itu  satu Suruhanjaya khas yang bebas perlu diwujudkan bagi mengawal selia dana politik,” jelasnya.

Menurut Bersih lagi, pendedahan secara terbuka Sanusi  membuka mata semua pihak bahawa parti politik memerlukan dan bergantung kepada dana yang sangat besar. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN