PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa seluruh ahli Parlimen tidak kira blok kerajaan mahupun pembangkang, menyokong Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri.
Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, pihaknya menyambut baik RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 itu sambil menegaskan pembentangan RUU tersebut adalah manifestasi kepada lonjakan agenda reformasi institusi.
Menurutnya, pelaksanaan reformasi itu akan memberi kesan yang baik untuk jangka masa panjang.
“Ini termasuk penegasan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa had tempoh tersebut turut terpakai kepada beliau yang kini menyandang jawatan Perdana Menteri selama lebih tiga tahun.
“Justeru, Bersih menggesa dukungan semua ahli Parlimen untuk menyokong RUU ini agar ia diluluskan di Parlimen nanti.
“Sekiranya RUU ini diluluskan, ia menjadi mekanisme untuk mengelakkan pemusatan kuasa Perdana Menteri yang memegang kuasa untuk satu tempoh yang lama yang membawa kepada kediktatoran,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Media melaporkan, bekas Perdana Menteri yang mempunyai rekod perkhidmatan selama 10 tahun tidak boleh dilantik semula ke jawatan itu jika RUU tersebut diluluskan Dewan Rakyat dan dikuatkuasakan kelak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU itu memperuntukkan tahun perkhidmatan bagi mana-mana Perdana Menteri dan bukan ditentukan berdasar tempoh penggal Parlimen.
Sementara itu, Bersih turut menyeru seluruh ahli Parlimen untuk membahaskan RUU tersebut dengan baik dan berkesan.
“Selain daripada had penggal Perdana Menteri, Bersih turut mencadangkan agar kerajaan turut melaksanakan Akta Penggal Tetap Parlimen untuk mengurangkan pergeseran kuasa dan pertukaran Perdana Menteri/kerajaan pada pertengahan penggal yang kerap sebagaimana kita lihat sebelum ini pasca Langkah Sheraton.
“Pertukaran yang kerap dalam masa yang singkat akan mewujudkan kerajaan yang tidak stabil dan mengangkat prinsip demokrasi berparlimen ke peringkat yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN










