PARLIMEN: PM sudah berkhidmat 10 tahun tidak boleh dilantik semula

PARLIMEN: PM sudah berkhidmat 10 tahun tidak boleh dilantik semula

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mana-mana bekas Perdana Menteri yang mempunyai rekod perkhidmatan selama 10 tahun tidak boleh dilantik semula ke jawatan itu sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri diluluskan dan dikuatkuasakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU itu memperuntukkan tempoh perkhidmatan bagi seseorang Perdana Menteri berdasarkan jumlah tahun berkhidmat dan bukan ditentukan mengikut tempoh penggal Parlimen.

Katanya, tempoh perkhidmatan Perdana Menteri turut diambil kira berdasarkan tahun-tahun terdahulu yang telah dilalui dalam jawatan tersebut.

“Maknanya, ia dikira ke belakang (rekod sebelum ini). Jadi Perdana Menteri yang ada hari ini, kalau katakan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), beliau menang lagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi, boleh.

“Tetapi jika dikira berdasarkan tahun, beliau hanya mempunyai baki tujuh tahun sahaja dan bukannya diberikan tempoh 10 tahun baharu. Mungkin Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika menjadi Perdana Menteri semula kerana menang pilihan raya, mungkin mempunyai baki lapan tahun.

“Kemudian, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin berbaki sembilan tahun,” katanya selepas sesi taklimat RUU pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.

Azalina berkata, pindaan itu dibuat bagi memenuhi komitmen manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan sekiranya pada masa hadapan ingin dikembalikan kepada kaedah sedia ada, ia bergantung kepada kerajaan seterusnya.

“Perlembagaan boleh dipinda. Kerajaan yang mempunyai majoriti dua pertiga pada masa hadapan boleh meminda undang-undang. Malah, tempoh jawatan juga boleh diubah semula dan mereka boleh berbuat demikian sekiranya mahu Perdana Menteri kekal tanpa had.

“Jika mempunyai sokongan dua pertiga atau lebih di Parlimen, sebarang pindaan terhadap Perlembagaan boleh dilakukan. Apa yang dilakukan kerajaan ini bersama rakan gabungan adalah menunaikan janji kepada rakyat seperti yang terkandung dalam manifesto PRU ke-15 lalu.

“Dalam manifesto, ada parti mencadangkan had dua penggal, manakala ada yang mencadangkan tempoh 10 tahun.

“Pada asasnya, kerajaan sedang melaksanakan apa yang telah dijanjikan. Namun, kerajaan seterusnya dengan majoriti baharu masih boleh mengubahnya kerana itu merupakan prerogatif mereka,” katanya.

Terdahulu, Azalina berkata, pindaan RUU itu hanya membabitkan jawatan Perdana Menteri dan tidak menyentuh atau mempunyai kaitan langsung dengan jawatan Ketua Menteri serta Menteri Besar kerana ia melibatkan urusan negeri. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN