PADANG BESAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Izizam Ibrahim mengambil inisiatif terpuji bagi membantu golongan memerlukan apabila menyediakan perkhidmatan jualan beras menggunakan mesin layan diri dengan harga serendah RM2 sekilogram.
Mesin berkenaan diletakkan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi di sini sejak tiga bulan lalu dan dalam tempoh berkenaan sebanyak 2.5 tan beras telah terjual kepada orang ramai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Izizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri berkata, dalam masa sehari, sekitar 50 sehingga 100 kilogram beras terjual khususnya untuk keperluan penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, bagi pelaksanaan inisiatif itu, beliau mengeluarkan peruntukan sendiri sebanyak RM0.60 sehingga RM2 bagi setiap kilogram beras yang dipasarkan buat orang ramai itu.
“Setiap seorang hanya dibenarkan membeli sebanyak lima kilogram beras dan mereka boleh membeli bekalan tersebut menerusi mesin layan diri yang terletak di pusat khidmat itu,” katanya.
Tambah Izizam, pihaknya menggunakan pelbagai jenis gred beras bergantung kepada bekalan yang diperolehi.
“Saya tambah antara RM0.60 sehingga RM2 bagi setiap kilogram beras ini bergantung kepada jenis bekalan yang diperolehi kerana ada kalanya kami mendapat beras tempatan dan ada ketika membeli beras import,” katanya.
Dalam pada itu, Izizam berkata, beliau menempah khas mesin beras berkenaan dari sebuah kilang yang beroperasi di Thailand dengan kos sekitar RM10,000.
Katanya, pelaksanaan inisiatif itu bukan disediakan hanya untuk penduduk di DUN Titi Tinggi sahaja namun terbuka buat mana-mana penduduk yang memerlukan.
“Dalam masa terdekat, saya juga mempunyai perancangan bagi meletakkan mesin beras layan diri ini di beberapa kawasan kampung dalam memperluaskan lagi inisiatif ini.
“Mungkin di kawasan-kawasan kampung nanti kita boleh gunakan mesin yang bersaiz sedikit kecil berbanding sedia ada,” katanya. – UTUSAN











