GEORGE TOWN : Kerja-kerja mengapit semula saluran paip bawah air di Sungai Perai kini berjaya disiapkan pada tahap 80 peratus.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, setakat pukul 4 petang tadi, semua kepingan pengapit diletakkan pada kedudukan yang diperlukan untuk menutup lubang pada saluran paip tersebut.
”Para penyelam kini berlumba mengejar masa untuk memasang semua pengapit di tempatnya. Garis masa yang dijangkakan untuk mengunci dan menyemak semua bolt ialah sekitar lima hingga tujuh jam,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PBAPP melaksanakan dua pelan tindakan respons kecemasan secara serentak iaitu melibatkan plan A iaitu melaksanakan kerja-kerja mengapit semula saluran paip 1,350mm.
Kon Yeow berkata, pelan B pula melibatkan kerja pembinaan dua saluran paip gantian 600mm baharu merentasi Sungai Perai untuk menggantikan bahagian saluran paip 1,350mm di dasar Sungai Perai yang bocor.
Menurut PBAPP, dengan perkembangan baharu pelan A itu, pemulihan bekalan air kepada 84 peratus daripada 120,000 pengguna terjejas dijadualkan pada Sabtu ini, kira-kira pukul 11.30 malam.
”Baki 16 peratus lagi pengguna termasuk yang tinggal di kawasan tinggi serta di hujung paip agihan air mereka akan memperoleh bekalan air pada Ahad ini, kira-kira pukul 11.30 malam,” katanya.
Tambahnya, gangguan bekalan air berjadual (SWSI) untuk melaksanakan kerja-kerja pelan B dijadualkan pada 11.30 malam, Isnin depan ( 29 Januari) selepas bekalan air dipulihkan sepenuhnya di bawah pelan A.
”Ini akan memberi 120,000 pengguna terjejas tempoh 24 hingga 48 jam untuk mengisi tangki simpanan mereka sebelum penutupan saluran paip untuk membolehkan pelaksanaan kerja-kerja lencongan,” katanya. – UTUSAN










