KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pempengaruh, Ikhmal Nour tampil menjelaskan status sebenar hubungannya dengan pempengaruh, Hazan selepas ramai pihak menganggap hubungan mereka sekadar gimik untuk meraih perhatian di media sosial.
Menurut Ikhmal, dia sendiri kurang memahami mengapa masih ada yang mempertikaikan keseriusan hubungan tersebut sedangkan mereka sudah pun mengikat hubungan dari sudut syarak.
“Sejujurnya, Iqmal sendiri kurang faham kenapa orang mempertikaikan perkara itu. Sebenarnya, dari segi syarak, kami memang sudah bertunang.
“Cuma dari segi adat Melayu seperti majlis merisik atau bertemu keluarga secara rasmi, itu belum dilakukan sepenuhnya. Tetapi Iqmal sudah berjumpa ibu bapa dia, dan dia juga sudah berjumpa ibu bapa Iqmal.
“Mudah kata, hubungan kami memang ke arah yang serius. Alhamdulillah, kadang-kadang orang fikir itu hanya gimik atau sekadar content sahaja, tetapi tidak. Hubungan kami memang serius,” katanya.
Ikhmal berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan segelintir netizen yang menganggap hubungan mereka hanyalah strategi kandungan media sosial memandangkan kedua-duanya jarang dilihat bersama.
Mengulas lanjut, Ikhmal menjelaskan kekangan masa dan komitmen kerja menjadi antara sebab mereka tidak kerap muncul bersama dalam satu kandungan.
“Dia sangat sibuk dengan kerjanya sekarang, termasuk urusan keluarga dan juga bersama pasukan YouTube Alif Irfan.
“Ada beberapa kekangan yang menyebabkan kami tidak selalu muncul bersama dalam satu frame. Iqmal menghormati kerja dia, dan dia juga menghormati kerja Iqmal. Jadi kami sangat memahami antara satu sama lain,” ujarnya.
Ditanya sama ada sudah ada perancangan khusus untuk melangkah ke fasa seterusnya, Ikhmal tidak menolak kemungkinan perkara itu akan berlaku dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, tidak lama lagi. Kami tidak boleh menetapkan masa yang tepat kerana kita hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan.
“Untuk peminat di luar sana, doakan yang terbaik buat kami. Apa yang penting, kami mahu semuanya berjalan dengan baik dan dipermudahkan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Ikhmal turut berkongsi pandangan peribadinya terhadap Hazan yang disifatkan sebagai seorang individu yang matang dan rasional.
“Iqmal mula mengenali dia sekitar bulan Oktober tahun lalu. Pada pandangan Iqmal, dia memang seorang perempuan, kerana ada juga yang mempersoalkan suaranya. Tetapi dia memang perempuan.
“Dia seorang yang sangat logikal. Hazan ialah seorang yang berfikir secara rasional. Berbeza dengan Iqmal yang kadang-kadang mudah percaya kepada orang. Jika orang cakap sesuatu, Iqmal mudah percaya.
“Tetapi dia sangat berbeza, dia lebih teliti, lebih berhati-hati dan sangat logikal dalam membuat keputusan. Itu antara perkara yang Iqmal sangat hormati tentang dirinya,” jelasnya.










