598,635 kemalangan jalan raya sepanjang 2023

598,635 kemalangan jalan raya sepanjang 2023

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal sempena Ambang Tahun Baharu 2024 di sekitar ibu negara, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 598,635 kemalangan jalan raya di seluruh negara bermula 1 Januari sehingga 30 Disember lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nasri Omar berkata, sebanyak 5,984 kemalangan maut menyebabkan 6433 kematian.

Katanya, Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi sebanyak 173,129 kemalangan diikuti Johor (87,370), Kuala Lumpur (72,701), Pulau Pinang (53,289), Perak (41,578) dan Negeri Sembilan (28,822).

“Selangor juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 1,059 mangsa, diikuti Johor (1,045), Perak (683), Kedah (576) dan Sarawak (429).

“Operasi bersepadu ambang tahun baharu secara besar-besaran di seluruh negara dijalankan JSPT melibatkan semua kontinjen dan daerah bermula 8 malam hingga 5 pagi tadi.

“Operasi itu melibatkan 4,378 pegawai dan anggota PDRM selain pelbagai agensi penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya selepas Op Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Jalan Duta di sini, awal pagi tadi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Semalam, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan operasi secara besar-besaran bertujuan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalu lintas.

Katanya, operasi ini bagi memantau pergerakan aliran trafik di lokasi tumpuan selain membanteras aktiviti samseng jalanan serta mencegah pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang boleh mendatangkan risiko kemalangan atau halangan di jalan raya.

“Terdapat 17 lokasi sambutan ambang tahun baharu di Lembah Klang iaitu 10 di Kuala Lumpur dan selebihnya di Selangor.

“Walaupun tiada sambutan secara rasmi diadakan di Dataran Merdeka dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), PDRM turut meletakkan petugas bagi memantau keselamatan serta ketenteraman awam di lokasi tersebut selain membantu melancarkan aliran trafik sekiranya berlaku kesesakan yang ketara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya