456,136 pengguna berjaya daftar PADU

456,136 pengguna berjaya daftar PADU

Pengkalan Data Utama (PADU) dilancarkan pada 2 Januari lalu. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 456,136 pengguna berjaya berdaftar melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU), setakat pukul 9 pagi tadi. 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, seramai 230,443 pengguna juga berjaya membuat e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) dengan 61 peratus daripadanya selesai dengan pengesahan itu. 

Beliau berkata, proses e-KYC boleh dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh kurang lima minit. 

“Secara umumnya, individu yang memakai cermin mata tidak menyebabkan masalah untuk melaksanakan e-KYC. 

“Pengguna perlu mengemas kini sistem pengoperasian telefon bimbit masing-masing dengan versi terkini, mengosongkan cache serta memastikan pelayar (browser) tidak berada dalam tetapan private.

“Sekiranya pengguna masih menghadapi masalah berkaitan e-KYC, pengguna boleh hadir ke kaunter PADU yang terdekat. Senarai lokasi kaunter PADU di seluruh negara boleh didapati di pautan www.padu.gov.my/hubungi/lokasi dan klik ‘Senarai kaunter’,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, setiap maklumat yang diperakukan tidak boleh dipinda oleh individu kecuali dengan membuat pelaporan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). 

Menurutnya, ia bagi membolehkan tindakan dilaksanakan oleh pentadbir PADU.

Berhubung masalah pengemaskinian variabel pendapatan, Rafizi berkata, pengguna perlu mengemas kini maklumat pekerjaan dan seterusnya boleh mengemas kini variabel pendapatan itu. 

“Bagi kategori penganggur pula, pengguna boleh mengemas kini bantuan atau sumbangan serta memasukkan amaun bantuan atau sumbangan yang diterima sama ada daripada agensi kerajaan atau ahli keluarga bagi menampung kehidupan,” katanya. 

Sementara itu, Rafizi berkata, susulan aduan mengenai kelemahan berkaitan pengendalian Application Programing Interface (API) berkaitan kata laluan yang menyebabkan risiko keselamatan, pasukan pembangunan sistem berjaya melaksanakan pembaikan, peningkatan dan pengukuhan dalam tempoh satu jam.

“Kami melihat isu keselamatan siber sebagai isu yang serius dan akan sentiasa memantau dan menguji sistem kami untuk memastikan tiada kecacatan atau kelemahan pada sistem,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya