PEKAN: Seramai 128 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Temai di sini menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bermula semalam setelah sekolah itu digenangi ‘air termenung’ ekoran banjir sejak 27 Disember lalu.
Masalah berkenaan bukan baharu sebaliknya saban tahun SK Temai ditenggelami fenomena tersebut setiap kali musim tengkujuh.
Difahamkan, faktor bentuk muka bumi yang rendah menyebabkan ‘air termenung’ mudah berlaku di sekolah terbabit dan mengambil masa lama untuk surut sepenuhnya antara satu hingga dua minggu.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Abdul berkata, setiap tahun air berwarna coklat kehitaman bertakung dalam dan luar kawasan sekolah termasuk padang bola.
Menurutnya, kejadian itu bukan disebabkan limpahan air Sungai Pahang sebaliknya air paya gambut yang melimpah ke kawasan sekolah. “Hampir keseluruhan kawasan di sekolah terbabit ditenggelami air paras buku lali tetapi di tempat lebih rendah, paras air lebih dalam hingga masuk ke kelas.
“Kejadian ini setiap tahun berlaku dan lazimnya, ia mengambil masa antara satu hingga dua minggu untuk surut sepenuhnya,” katanya di sini semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati SK Temai masih digenangi air berwarna coklat kehitaman dengan bau kurang menyenangkan. –UTUSAN










