Malaysia perkukuh kesiapsiagaan pertahanan di Pulau Layang-Layang - Utusan Malaysia

Malaysia perkukuh kesiapsiagaan pertahanan di Pulau Layang-Layang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kerajaan akan memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan di Pulau Layang-Layang susulan cabaran tuntutan bertindih di kawasan Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata,
antara langkah yang diambil adalah mengukuhkan kedudukan di Pulau Layang-Layang selain memasang sistem radar bagi meningkatkan keupayaan pemantauan di kawasan berkenaan.

“Daripada segi ancaman keselamatan, kita telah mengukuhkan kedudukan kita di Pulau Layang-Layang.

“Kita juga akan memasang radar di kawasan itu supaya kita mempunyai keupayaan melakukan pemantauan yang lebih kukuh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Air Mawang, Johol, di sini, malam tadi.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan Malaysia menghantar satu nota diplomatik yang disifatkan sebagai ‘amat keras’ kepada sebuah negara yang mendakwa sebahagian kawasan dalam wilayah Malaysia sebagai milik mereka.

Mohamed Khaled sementara itu berkata, tindakan mengemukakan bantahan diplomatik penting bagi menegaskan pendirian Malaysia susulan tuntutan bertindih di kawasan berkenaan.

Menurutnya, negara juga berdepan tuntutan bertindih daripada beberapa negara termasuk China, Vietnam dan Filipina, justeru setiap dakwaan yang menyentuh wilayah negara tidak boleh dibiarkan tanpa bantahan.

“Soal bantahan itu perlu dilakukan untuk menunjukkan bahawa bantahan tersebut sentiasa kita hidupkan. Kita tidak boleh membiarkan sebarang kenyataan atau tuntutan berlalu begitu sahaja tanpa menunjukkan pendirian Malaysia.

“Malah, kita juga menerima bantahan daripada negara-negara yang membuat tuntutan bertindih terhadap kawasan yang kita anggap milik Malaysia. Jadi, perkara ini memang perlu dilakukan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, bantahan itu dibuat susulan tindakan sebuah negara yang baru-baru ini mengumumkan kawasan lautnya merangkumi beberapa pulau milik Malaysia.

“Negara itu baru-baru ini membuat pengumuman bahawa kawasan lautnya termasuk beberapa pulau yang kita miliki. Jadi, kita perlu mengemukakan bantahan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN