'Kalau orang sudah tak suka, buat apa hendak tunggu?'

‘Kalau orang sudah tak suka, buat apa hendak tunggu?’

MOHAMED Khaled Nordin ketika melancarkan Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera BN di PDM Air Mawang, Johol, Kuala Pilah, malam ini.-UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Setiap lantikan dan kedudukan seseorang menteri atau timbalan menteri merupakan budi bicara Perdana Menteri.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, jika seseorang menteri sudah tidak lagi dikehendaki, tiada keperluan untuk terus menunggu bagi melepaskan jawatan.

“Saya percaya, seperti yang saya katakan tadi, soal pelantikan menteri semuanya adalah budi bicara Perdana Menteri.

“Kalau orang sudah tidak suka, buat apa hendak tunggu?” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Air Mawang, Johol, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bersedia melepaskan jawatan sebagai Menteri Luar sekiranya diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau bersetuju dengan amaran Perdana Menteri supaya menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan tidak menggunakan kedudukan masing-masing untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, PRN seharusnya memberi tumpuan kepada isu pembangunan dan hala tuju negeri, bukannya dijadikan medan serang-menyerang.

“Memang tidak sewajarnya ia menjadi platform untuk berlakunya serang-menyerang. Seperti yang ditekankan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, kempen BN perlu dijalankan secara berhemah.

“Kita mahu rakyat membuat pertimbangan yang betul, baik dan tepat kerana keputusan mereka akan mempengaruhi masa hadapan kehidupan mereka.

“Jadi, tidak perlulah menggunakan pendekatan yang boleh menyakitkan hati atau memburuk-burukkan antara satu sama lain. Soal pelantikan menteri adalah budi bicara Perdana Menteri, jadi tidak perlulah mendesak mana-mana menteri meletakkan jawatan kerana perkara itu boleh dibincangkan dengan ketua parti masing-masing,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN