Ada satu kisah mengenai seorang artis senior yang khabarnya sedang melalui fasa memerlukan penjagaan dan rawatan secara berkala. Jadi, adalah seorang wanita yang ditugaskan menjaganya, ala jururawat peribadi begitulah.
Namun, menurut sumber yang menyampaikan cerita kepada Cik Bunga, lain pula jadinya apabila si artis senior dikatakan mula menunjukkan kemesraan yang agak berlebihan terhadap wanita berkenaan.
Iyalah, nama pun orang datang bekerja. Tugasnya merawat, menjaga dan memastikan keadaan pesakit berada dalam keadaan baik. Tetapi kalau setiap kali datang sudah dilayan terlebih mesra, diberikan perhatian bukan-bukan dan ada pula gaya seperti orang sedang ‘tangkap cintan’, tentulah boleh membuatkan orang yang bekerja itu berasa serba salah.
Dengar ceritanya, wanita berkenaan sendiri dikatakan kurang selesa dengan cara si artis senior melayannya. Bukanlah hendak menuduh yang bukan-bukan, tetapi kalau benar cerita yang sampai ini, mungkin si artis senior kena faham bahawa layanan baik seseorang yang sedang menjalankan tugas profesional tidak semestinya membawa maksud lain.
Cuma, kata sumber Cik Bunga lagi, mungkin juga artis senior itu sedang berasa sunyi. Khabarnya hubungan dengan anak-anak pun tidaklah semesra yang diharapkan. Entah sibuk dengan kehidupan masing-masing atau ada cerita lain di sebaliknya, Cik Bunga pun tidak tahu.
Kadang-kadang apabila seseorang terasa kurang mendapat perhatian daripada keluarga sendiri, orang yang datang bertanya khabar, menjaga makan minum dan mengambil berat tentang kesihatan pun mudah dianggap terlalu istimewa. Tetapi janganlah pula sampai salah tafsir perhatian profesional sebagai bunga-bunga cinta.










