PETALING JAYA: Seramai 120 pelajar menjadi kumpulan pertama Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang merupakan pusat pengajian AI pertama negara yang akan mula beroperasi Oktober ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, fakulti yang ditubuhkan dengan peruntukan awal sebanyak RM20 juta itu menawarkan pelbagai program yang mengadaptasikan AI dengan pelbagai bidang.
Justeru, katanya, pelajar terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat boleh mula memohon selepas iklan dibuka nanti, dengan jumlah pengambilannya bergantung kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta kursus yang ditawarkan.
“Fakulti ini tidak sama dengan fakulti kejuruteraan komputer atau sains komputer. Ia meliputi AI pelbagai disiplin sama ada kejuruteraan awam, kimia serta perubatan.
“Pada masa sama, pakar-pakar di fakulti itu akan membuat penyelidikan keperluan negara, ekonomi, pembangunan infrastruktur dan semua bidang yang berasaskan AI. Kalau ini dapat dijayakan, maka Malaysia akan seiring dengan negara maju yang lain.
“Kami juga akan bertindak sebagai PIC (individu yang bertanggungjawab) untuk kita bekerjasama di peringkat institusi pengajian tinggi dalam negara bagi pendidikan AI,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan Fakulti AI itu bagi memperhebat penerokaan bidang AI rentas disiplin ilmu.
Semalam, beliau mengulangi, Malaysia akan ketinggalan dalam pelbagai aspek khususnya untuk menjadi 30 negara ekonomi terbesar dunia jika tidak menguasai AI.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pihaknya dalam proses untuk menyemak bagaimana untuk mengintegrasikan AI dalam kurikulum kursus yang ditawarkan.
“Ia melibatkan kursus-kursus yang perlu ada AI atau ditambah AI, tetapi sekarang ini lebih kepada bagaimana integrasi dalam kerja kursus atau peperiksaan,” katanya.
Beliau menambah, USM juga dalam proses untuk meningkatkan pengetahuan AI dalam kalangan pensyarah dan kakitangan. – UTUSAN










