JOHOR BAHRU: Polis telah merakam keterangan 22 saksi susulan kematian seorang pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, 28 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner Polis Ab Rahaman Arsad berkata, rakaman keterangan 22 saksi itu diambil terdiri daripada pasukan perubatan, jurulatih, pelatih Palapes serta ahli keluarga Syamsul Haris Shamsudin, 22.
Katanya, laporan penuh bedah siasat mangsa belum diperoleh susulan Jabatan Kimia masih menganalisis sampel yang diambil daripada jenazah.
“Seramai 22 saksi telah dirakam keterangan oleh polis termasuk doktor rawatan awal, doktor yang melakukan bedah siasat, rakan sepelatih yang jalani latihan, jurulatih latihan selain ahli keluarga mangsa.
“Polis masih menunggu laporan bedah siasat Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi mengesahkan sebab kematian mangsa,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, laporan bedah siasat dijangka mengambil masa masa susulan beberapa sampel masih lagi dianalisis Jabatan Kimia.
Tambahnya, polis akan merujuk Jabatan Pendakwaan Negeri Johor bagi mendapatkan nasihat berhubung keperluan tertentu untuk meneruskan sekali gus melengkapkan siasatan kes.
Terdahulu, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa siasatan kematian pegawai kadet Palapes UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Mangsa, Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, pada 28 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Mohamed Khaled berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.
Kelmarin, ibu Allahyarham Syamsul Haris dilaporkan menggesa bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, dilaporkan berkata permohonan berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membolehkan siasatan telus dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak. – UTUSAN










