YWM sasar kutipan wakaf sebanyak RM7 juta tahun ini

YWM sasar kutipan wakaf sebanyak RM7 juta tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menyasarkan kutipan wakaf sebanyak RM7 juta pada menjelang akhir tahun ini berbanding RM8.2 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM berkata, pihaknya telah mengumpul sebanyak RM3.2 juta kutipan wakaf sejak awal tahun hingga 30 Ogos lalu.

Katanya, bagi memastikan peningkatan tabungan dana wakaf yang akhirnya dapat membantu menambah balik kehidupan golongan yang memerlukan, produk-produk wakaf YWM diwujudkan berdasarkan keperluan semasa dengan kepelbagaian medium perwakafan.

“Kutipan wakaf di YWM terdiri daripada kutipan orang ramai, syarikat atau institusi swasta dan korporat. Sumbangan ke tabung wakaf di YWM boleh dilaksanakan menerusi medium perwakafan mengikut keperluan semasa bagi memudahkan masyarakat melaksanakan wakaf.

“Ini termasuk penggunaan platform perbankan/kewangan seperti QR DuitNow, perbankan internet, ATM, CDM. Wakaf juga disinergikan dengan produk takaful melalui kerjasama dengan Takaful Ikhlas, SunLife Takaful, AmMetLife Takaful, PruBSN Takaful dan Hong Leong MSIG Takaful.

“Selain itu, wakaf juga ada disinergikan dengan produk pelaburan di mana sebahagian keuntungan/dividen yang diterima akan diwakafkan. Bagi tujuan ini, YWM bekerjasama dengan Kenanga Investors Berhad, Maybank Asset Management dan Permodalan BSN,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, YWM berkata, sebanyak RM1.8 juta kutipan wakaf telah diagihkan bagi separuh pertama tahun ini.

Selain mewujudkan Wakaf Am yang bersifat penggunaannya secara umum, YWM turut mewujudkan produk-produk wakaf khas bagi memberi manfaat kepada golongan sasaran.

“Contohnya,  Wakaf Perkhidmatan Air (atau Wakaf Air) yang dilaksanakan secara sinergi bersama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bagi tujuan penyediaan fasiliti bagi membekalkan sumber air bersih ke lokasi yang tidak boleh dicapai oleh operator air.

“Sehingga kini, sejumlah RM2.8 juta telah dibelanjakan yang telah memberi manfaat kepada hampir 30,000 penduduk di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Tambahnya, program wakaf lain termasuklah Wakaf Armalah yang dilaksanakan bersama Yayasan Muslimin Malaysia, iTekad CIMB Islamic Rider Enterpreneur yang dilaksanakan bersama CIMB Islamic Bank dan Wakaf Halal PKS yang dilaksanakan bersama Halal Development Corporation Berhad (HDC).

YWM berkata, sokongan masyarakat terhadap pembangunan wakaf amat diharapkan ke arah menjadikan Malaysia sebagai ikon dalam pembangunan wakaf yang berinovasi dan berdaya maju di samping menjadi fokus negara Islam lain dalam membangunkan wakaf secara teratur dan sistematik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya