Wings gamatkan Stadium Malawati, undang sebak 9,000 peminat - Utusan Malaysia

Wings gamatkan Stadium Malawati, undang sebak 9,000 peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Dalam kita suka, ada yang sedang berperang. Izinkan kami menghadiahkan lagu ini untuk pejuang di Gaza dan sama-sama kita doakan mereka.”

Itu ucapan vokalis utama Wings, Datuk Awie sebelum menyanyikan lagu selawat, Allah Allah Aghisnasebagai tanda ingatan dan doa untuk rakyat Palestin dalam Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter di Stadium Malawati, malam tadi.

Lagu yang didendangkan penuh syahdu dan sayu itu ternyata mengundang sebak apabila sebahagian daripada 9,000 peminat yang hadir menitiskan air mata kerana terkenangkan penderitaan rakyat Palestin.

Malah paparan video situasi genting di Gaza serta keadaan rakyat Palestin berdepan serangan regim Israel turut menambah sayu dan Awie menggandakan kesedihan itu dengan memabca doa memohon pertolongan untuk mereka yang tertindas.

Dalam konsert berkonsepkan teaterikal itu, Awie di usia 57 tahun tetap beraksi bertenaga dan tidak lelah menguasai pentas menerusi beberapa segmen sepanjang hampir tiga jam konsert terlangsung.

Konsert mega pertama anjuran syarikatnya sendiri iaitu Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment itu turut berjaya memenuhi permintaan peminat iaitu Sayap Sayap Wings bersama rakan seperjuangan, Eddie, Black, Syam dan Edrie Hashim.

Membuka tirai konsert dengan lagu Adony Dari Paran, Kompilasi Pramayar dan Ingatkan Dia (album Menakluk Kosmos), Awie berjaya mengekalkan momentum persembahan sehingga ke lagu terakhir, Sejati.

Kejayaan konsert full house itu bakal diteruskan di Pulau Pinang dan Johor tahun hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN