Warga emas 90 tahun antara 23 ditahan berjudi - Utusan Malaysia

Warga emas 90 tahun antara 23 ditahan berjudi

ANTARA individu yang ditahan polis dalam serbuan di Jalan Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Seorang warga emas berusia 90 tahun antara 23 individu yang ditahan polis di Jalan Sungai Ara, di sini semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi.

Turut ditahan ialah 10 warga emas lain berusia antara 60 tahun hingga 90 tahun dalam serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sebuah khemah di kawasan tanah lapang di Jalan Sungai Ara.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati, aktiviti judi berkenaan baru beroperasi selama empat hari dan polis turut merampas wang berjumlah RM26,112 dalam serbuan itu.

Menurutnya, polis turut membuat rampasan antaranya tiga biji dadu; 143 keping cip; 14 buah kerusi plastik; sebuah kalkulator; lima buah bekas plastik yang di dalamnya mengandungi kapur pelbagai warna, satu alat penggera masa, dua helai kain kecil dan peralatan lain.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Rizal berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Barat Daya menahan seorang wanita berusia 30 tahun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah kerana disyaki menjadi keldai akaun dalam sindiket penipuan telefon (phone scam).

Jelas beliau, akaun bank wanita itu disyaki digunakan oleh sindiket yang menyamar sebagai pihak syarikat kurier serta pegawai polis dan memperdaya mangsa.

“Berdasarkan laporan, mangsa telah menerima panggilan telefon mendakwa dari pihak syarikat yang telah menerima barang atas namanya yang mengandungi tiga kad pengenalan, tiga pasport dan dua kad bank milik individu lain dan kemudian panggilan itu disambungkan ke pihak polis. 

”Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 34 tahun dan bekerja di sebuah kilang itu telah membuat sembilan transaksi secara atas talian ke empat penama akaun berbeza berjumlah RM57,000,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di pekarangan Balai Polis Bukit Mertajam kerana disyaki menjadi keldai akaun dalam sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pekerja pos laju dan pegawai polis.

”Berdasarkan laporan, mangsa telah menerima panggilan telefon oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai pekerja pos laju dan memaklumkan dia mempunyai barang yang ditahan di pejabat pos kerana mengandungi kad pengenalan dan kad ATM lalu terus disambungkan kepada pihak polis. 

”Mangsa turut diberitahu kad pengenalan miliknya didapati terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram serta kongsi gelap seterusnya telah menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kes dan membersihkan nama mangsa.

”Mangsa merupakan seorang wanita berusia 48 tahun dan bekerja di sebuah kilang telah membuat beberapa transaksi secara atas talian ke akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM20,720,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya