KOTA KINABALU: Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) rentung manakala empat mangsa cedera dalam kebakaran membabitkan 12 buah rumah di Kampung Kalansanan, Inanam, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, wanita berusia 50-an itu ditemukan rentung di lokasi kejadian sementara tiga mangsa cedera akibat melecur dan seorang wanita pengsan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.10 malam mengenai insiden kebakaran itu dan sepasukan 34 pegawai serta anggota bomba dari BBP Lintas, Kota Kinabalu dan Tuaran dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, sebanyak 12 rumah didapati musnah sepenuhnya.
“Lima orang yang terlibat dalam kebakaran iaitu seorang wanita OKU, tiga mangsa cedera akibat melecur manakala, seorang wanita pengsan.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran 400 kaki lima pancutan daripada sumber air dan jentera tangki bomba.
“Operasi terkawal pada pukul 1.16 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 4.50 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, mangsa yang terlibat berusia antara 16 tahun hingga 50-an yang terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki. – UTUSAN










