PETALING JAYA: iCents Group Holdings Berhad (iCents) memperoleh Surat Anugerah (LOA) bagi kontrak RM12.9 juta untuk menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian sebagai kontraktor utama untuk kilang, gudang dan pejabat tingkat bawah di Lembah Klang.
Pengarah Urusan iCents, Ir. Ts. Vincent Ong Mum Fei berkata, kontrak tersebut diterima melalui anak syarikat milik penuhnya, VC Engineering Sdn. Bhd, (VC Engineering), sekali gus menandakan satu lagi peristiwa penting dalam mengembangkan kehadiran kami dalam rantaian nilai semikonduktor Malaysia.
“Memandangkan pengeluar semikonduktor global terus mengembangkan jejak pengeluaran mereka dan Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai hab semikonduktor serantau, permintaan untuk kemudahan perindustrian khusus dan penyelesaian kejuruteraan berkaitan bilik bersih dijangka kekal kukuh.
“Dengan memanfaatkan kepakaran kejuruteraan dan keupayaan pelaksanaan yang terbukti, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pelanggan dalam menyediakan kemudahan berspesifikasi tinggi yang memenuhi keperluan ketat industri semikonduktor,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif iCents, Foo Siang Leng berkata, anugerah itu mempelbagaikan lagi portfolio projek kumpulan dan mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan meraka menyediakan penyelesaian kejuruteraan dan pembinaan bersepadu untuk industri intensif teknologi.
“Kami kekal komited untuk melaksanakan projek ini mengikut piawaian tertinggi sambil mengejar peluang selanjutnya yang timbul daripada pelaburan berterusan dalam sektor semikonduktor, sains hayat dan pembuatan termaju,” ujarnya.
Melihat ke hadapan, iCents kekal optimistik tentang prospek untuk kemudahan pembuatan termaju dan perindustrian berspesifikasi tinggi, disokong oleh peningkatan pelaburan dalam semikonduktor, sains hayat, infrastruktur digital dan industri lain yang dipacu teknologi.
Disokong oleh keupayaan teknikalnya yang berkembang, kapasiti pembuatan dan rekod prestasi yang semakin meningkat, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang selanjutnya sambil memberikan nilai jangka panjang yang mampan kepada pihak berkepentingannya. – UTUSAN










