PETALING JAYA: Perubahan dalam varian Covid-19 yang boleh bermutasi dan berubah-ubah merupakan punca utama dalam peningkatan kes kes penyakit berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Awam, Dr. Sanjay Rampal berkata, walaupun begitu, dengan pengambilan vaksinasi dan dos penggalak, Covid-19 masih lagi dapat dikawal dan tidak mendatang kesan yang serius kepada pesakit.
“Berdasarkan petunjuk penularan Covid-19 semasa, jumlah kes harian akan terus meningkat untuk minggu-minggu akan datang. Trend ini adalah serupa dengan yang diperhatikan di Malaysia dalam tempoh Mei hingga Jun 2023,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, jualan kit ujian kendiri kembali melonjak susulan peningkatan semula kes jangkitan Covid-19 di negara ini.
Seorang pemilik kedai farmasi di Rasah, Leong Kee Lai, 31, berkata, permintaan terhadap kit ujian kendiri Covid-19 itu meningkat sejak lebih dua minggu lalu.
Jelasnya, ada waktunya 100 kotak kit tersebut boleh habis terjual dalam tempoh empat hari sahaja.
Dalam pada itu, pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Sanggang, Temerloh Pahang, Dr. Muhammad Aliff Md. Zaki berkata, masyarakat Malaysia dilihat semakin cakna dengan peningkatan kes harian Covid-19 dengan mengamalkan pemakaian pelitup muka dan melakukan saringan Covid-19.
“Apa yang saya dapat perhatikan, orang ramai akan terus membuat saringan selepas mempunyai gejala atau tanda-tanda terkena jankitan Covid-19,” katanya. Menurut Dr. Aliff, ini menunjukkan masyarakat masih lagi cakna dan peduli dengan peningkatan Covid-19 yang sedang berlaku.
Setakat ini, kes Covid-19 di negara ini bagi tempoh 10 hingga 16 Disember 2023 merekodkan sebanyak 20,696 dengan 28 angka kematian dicatatkan.
Menerusi hantaran infografik dibuat di aplikasi X Covid19Place yang turut dikongsi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly turut memaklumkan jumlah kes aktif sebanyak 28,375 kes.
Bilangan pesakit yang dirawat di hospital ialah sebanyak 588 yang menyaksikan pertambahan sebanyak 218 kes.- UTUSAN










