UMNO kena kembali pada MN, PN jika tidak mahu hilang kerusi Melayu - Utusan Malaysia

UMNO kena kembali pada MN, PN jika tidak mahu hilang kerusi Melayu

MUHAMMAD IZMER YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO memerlukan kerjasama semula dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) bagi mendapatkan kembali sokongan orang Melayu.

Hal demikian kerana, kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan ternyata ditolak majoriti pengundi Melayu khususnya dalam kalangan parti itu dan ianya dibuktikan di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini dengan undi UMNO terus merosot.

UMNO atau Barisan Nasional (BN) juga tidak mustahil kalah semua kerusi majoriti Melayu di dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) jika tidak menjalinkan kerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, UMNO merupakan parti orang Melayu dan selagi tidak jelas pendirian mereka dalam menetapkan hubungan kerjasama ia bakal mengundang risiko kekalahan lebih teruk selepas ini.

Katanya, kerjasama bersama PH yang turut bersama DAP dilihat tidak membantu atau memberi nilai tambah kepada UMNO.

“Kalau dilihat UMNO mula ditolak sejak 2018 namun kembali bangkit apabila bekerjasama bersama Pas menerusi MN dan terbukti menang berjaya dalam beberapa edisi PRK termasuk PRN Johor dan Melaka. Imej BN cukup baik apabila bersama MN ketika itu.

“Apabila MB terkubur, BN masuk gelanggang PRU15 secara solo dapat disaksikan bagaimanana mereka mengalami kekalahan cukup teruk hanya menang 26 kerusi sahaja. Tanpa MN, PN termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak, UMNO kalah teruk,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Pas sentiasa terbuka menerima UMNO bersama dalam PN demi semangat penyatuan ummah sekali gus bakal menguatkan lagi gabungan berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin UMNO bukan sahaja menolak tawaran Pas malah menganggap parti itu bagaikan gila talak’ mahu ‘merujuk’ semula.

Keterbukaan dan pelawaan Pas itu ditolak bulat-bulat oleh kepemimpinan UMNO, malah Ahmad Zahid Hamidi sendiri menganggap Pas ‘gila talak’ mahu berkerjasama semula.

Tambah Muhammad Izmer, kerjasama UMNO di dalam kerajaan Perpaduan meskipun dilihat mempunyai kelebihan namun tidak berjaya membantu menambah nilai kepada parti itu.

Katanya, di dalam PRN di enam negeri baru-baru buat kali pertama bekerjasama dengan PH, peratusan kekalahan UMNO atau BN sehingga 81 peratus dan ia sangat memberi risiko kepada parti itu.

“UMNO sepatutnya mencari langkah seterusnya demi survival parti itu sama ada kembali menarik sokongan Melayu atau golongan tersebut akan terus jauh dari UMNO. Pas kini dilihat sudah menggantikan UMNO sebagai parti utama orang Melayu Islam.

“UMNO tanpa sokongan Pas dilihat sukar untuk kembali mendapatkan sokongan Melayu. UMNO perlu mengkaji perkara tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya