UMNO akui perjalanannya raih kepercayaan Melayu masih jauh

UMNO akui perjalanannya raih kepercayaan Melayu masih jauh

umno
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO mengakui masih jauh perjalanan mereka untuk kembali berjaya menawan semula kepercayaan orang Melayu terhadap mereka.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini memberikan isyarat yang jelas tentang beberapa perkara dan tren penting.

Kata beliau, UMNO masih jauh dari berjaya untuk mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu dan ia boleh dilihat apabila UMNO tetap tewas walaupun menonjolkan seorang pahlawan bangsa dengan rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang.

“Jelas, tugas mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO adalah tugas sukar tetapi bukan mustahil.

“Tetapi buat masa ini, UMNO mesti menerima realiti bahawa orang Melayu masih jauh dari mempercayainya sebagai wakil politik mereka yang berkesan,” katanya di dalam satu kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas meraih majoriti sebanyak 37,220 undi berbanding majoriti yang diperoleh penyandang kerusi itu sebelum ini iaitu 27,179 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15, tahun lalu.

Jumlah undi yang diperoleh Ahmad Samsuri setakat ini adalah sebanyak 64,998 undi sementara calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hanya memperoleh 27,778 undi.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan itu berkata, keputusan PRK Kemaman menyedarkan UMNO bahawa ia mesti mempunyai daya tahan atau ketahanan untuk terus berjuang dalam arena politik Melayu yang semakin dinamik.

“Kemaman adalah indikasi jelas bahawa mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO adalah perjalanan jauh, tidak linear dan memakan masa panjang.

“Justeru, semangat, cara kerja, strategi dan kepimpinan, semuanya perlu sentuhan dan kecekalan baru serta kesabaran, jika UMNO ingin bersaing untuk menjuarai semula pengaruh dan kepercayaan bangsa Melayu dalam politik.

“Ujian sebenar dalam semua ini ialah ujian ketahanan. UMNO tidak akan mudah menyerah apalagi berfikir, bahawa jalan keluar bagi meraih sokongan Melayu telah tertutup rapi,” jelasnya.

Beliau berkata, sesuatu harus dilakukan segera oleh UMNO supaya berjaya meraih sokongan pengundi generasi muda.

Tambahnya, PRK Kemaman hanya menyaksikan UMNO tewas tetapi tidak sesekali mematikan parti tersebut.

“UMNO hanya tewas, seperti pelbagai kekalahan yang pernah ia lalui. Di lain ketika, pasti akan ada kemenangan untuk UMNO, insya-Allah,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya