Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pertama perlu diiktiraf

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pertama perlu diiktiraf

OSMAN Rani Yang Ramli (kanan) dan Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim bergambar bersama buku berjudul Idris Al-Marbawi & Bahrul Madzi yang dilancarkan di Padang Rengas, Perak. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Pemberian darjah kebesaran mungkin dilihat antara bentuk pengiktirafan yang boleh diberikan kepada penerima Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pertama, Allahyarham Dr. Syeikh Mohammad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi.

Pengerusi Masjid Jamek Al-Marbawi di sini, Osman Rani Yang Ramli berharap, pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dapat mengusahakan perkara tersebut.

Katanya, penganugerahan itu boleh diberikan sepertimana seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee serta tokoh nasionalis, Allahyarham Datuk Seri Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang masing-masing menerima darjah kebesaran setelah meninggal dunia.

Menurut beliau, Idris Al-Marbawi wajar diberikan sanjungan tinggi atas kegigihan menghasilkan pelbagai kitab semasa era sebelum Kemerdekaan yang tidak mudah untuk dilakukan pada waktu tersebut.

“Selepas kita melihat kegigihan, komitmen dan iltizam beliau menghasilkan kitab-kitab pada era tahun 1930-an yang mana sewaktu teknologi belum berkembang maju, dia boleh buat kerja-kerja itu.

“Kerajaan negeri boleh memberikan pengiktirafan yang besar kepada beliau walaupun ketika beliau masih hidup tidak mahu benda itu (pengiktirafan) kerana beliau bukan mencari nama.

“Tetapi pengiktirafan ini (diberikan) supaya boleh direkodkan bahawa beliau mendapat sanjungan yang baik,” katanya kepada pemberita semasa program penghargaan ulang tahun ke-90 penerbitan Kitab Bahrul Madzi, karya almarhum Syeikh Mohamad Idris Al-Marbawi di sini semalam.

Idris Al-Marbawi dilahirkan di Mekah pada 1890-an sewaktu ibu bapanya berhijrah ke tanah suci itu. Beliau kemudian kembali ke tanah air dan meneruskan pendidikan sehingga menjadi guru agama.

Allahyarham kemudian menyambung pengajiannya di Universiti Al-Azhar Mesir dan seterusnya menghasilkan kamus Arab-Melayu atau dikenali sebagai Kamus Al-Marbawi selain kitab Bahrul Mazi.

Beliau merupakan penerima pertama Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada tahun 1987 dan ulama itu meninggal dunia pada 1989 di Ipoh ketika usia 93 tahun. 

Osman Rani berkata, program yang diadakan tersebut sebagai menghargai sumbangan Allahyarham dalam bidang persuratan serta perkembangan ilmu sewaktu negara mahu mencapai Kemerdekaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN