Tiket konsert Imran Ajmain habis dalam sejam, tambah hari kedua

Tiket konsert Imran Ajmain habis dalam sejam, tambah hari kedua

TIKET konsert Malam Seribu Tahun penyanyi Imran Ajmain laku keras.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berikutan tiket konsert habis terjual dalam tempoh satu jam, penyanyi, Imran Ajmain mengumumkan penambahan satu hari lagi konsert Malam Seribu Tahun iaitu pada 2 Februari depan.

Walaupun penganjur, Hashtag Media mula membuka jualan tiket hari kedua pagi tadi, namun separuh tiket sudah pun laris dibeli.

“Sebenarnya ini hanyalah konsert kecil-kecilan dan saya memang mempunyai target penonton yang dimahukan pada 3 Februari nanti.

“Namun semalam, penjualan tiket semakin rancak dan sudahpun terjual dalam tempoh beberapa minit. Ramai yang menyatakan perasaan hampa di media sosial kerana tidak berkesempatan merebut tiket.

“Hasil perbincangan dengan penganjur, kami bersetuju mengadakan hari kedua namun sayangnya lokasi konsert untuk 4 Februari sudah ditempah, membuatkan kami memilih hari kedua itu awal sehari iaitu pada 2 Februari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Penyanyi itu akur sekiranya ada peminat yang berkecil hati dengan keputusan itu namun tetap bersyukur kerana dapat meraikan lebih ramai peminat sepanjang dua hari konsert tersebut.

“Setakat ini hanya ada seorang pengguna di media sosial yang berkecil hati kerana hari kedua diadakan lebih awal pada 2 Februari.

“Namun begitu, yang lain Alhamdulillah gembira. Saya bersyukur dan bangga kerana dapat mengadakan persembahan Malam Seribu Tahun di Kuala Lumpur nanti,” tambahnya.

Bercakap lebih lanjut mengenai harga tiket mampu milik serendah RM58, penganjur mendedahkan ia adalah permintaan daripada Imran sendiri untuk memberi peluang lebih ramai peminat menghadiri konsert tersebut.

“Harga tiket yang murah adalah kemahuan daripada Imran sendiri agar lebih ramai penyokong muziknya boleh menghadiri konsert tersebut.

“Bila ramai yang mampu membeli tiket, jurang antara seorang artis dengan penyokongnya akan lebih kecil. Hubungan itu lebih akrab kerana ramai yang rasa mereka mampu mendekati Imran.

“Berbanding jika kita buat konsert dengan harga tiket yang mahal, hanya ada orang tertentu yang mampu datang dan tengok membuatkan jurang antara artis dan penyokong semakin jauh,” kata Elmi Elmo sebagai wakil penganjur.

Konsert Malam Seribu Tahun yang bakal diadakan di The Platform, Menara Ken, TTDI pada 2 dan 3 Februari tahun hadapan diadakan sempena meraikan kerjaya 20 tahun Imran Ajmain sebagai penyanyi dan pengubah lagu.

Sebelum Malaysia, Imran bakal menghiburkan peminat di negara kelahirannya pada 12 Januari di Victoria Theatre, Singapura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN