Akhirnya Firdaus berhenti juga bekerja di kilang kotak yang terletak di Bandar Selatan. Selepas tamat tingkatan lima, dia terus mencari kerja dan di kilang kotak itulah dia mula memasuki dunia pekerjaan.
Firdaus mengambil keputusan hendak mencari kerja di tempat lain pula. Walaupun dia berasa seronok bekerja di kilang kotak itu, tetapi dia ingin mencari pengalaman baru. Kawan-kawannya di kilang kotak itu yang agak rapat dengannya, menghalang dia berhenti kerja.
Sejak hampir setahun bekerja, ada dua tiga pekerja di kilang kotak itu memang akrab dengan Firdaus.
“Kenapa awak mahu berhenti kerja? Gaji murah sangat ke?” Tanya Ah Seng penyelia di kilang kotak itu.
“Saya mahu cari kerja lain la. Dekat sikit dengan rumah saya,” jawab Firdaus memberi alasan.
“Awak jangan tipu saya lah, Daus! Ini kilang dekat juga sama awak punya rumah. Banyak bas juga awak boleh naik. Tadak susah punya!” Ujar Ah Seng dengan nada yang agak tinggi.
“Atau awak sudah tidak suka kerja di sini!” Sampuk Rajan yang duduk di sebelah Ah Seng.
“Ehh bukan! Saya suka kerja sini. Semua baik-baik. Cina, India, Benggali, juga Melayu. Semua baik-baik!” kata Firdaus menafikan tekaan Rajan.
“Habis tu kenapa awak mahu berhenti?” Terjah Rajan lagi.
“Saya mahu cari pengalaman baru. Dekat sini macam statik je!” ujar Firdaus.
“Apa tu?” Tanya Rajan dengan mata terbeliak. Firdaus tidak menjawab, sebaliknya dia ketawa.
Sebaik sahaja Firdaus berhenti bekerja di kilang kotak, dia mencari kerja di Bandar Kembangan yang berdekatan dengan tempat tinggalnya. Di bandar itu terdapat sebuah kawasan khas yang dibina bangunan-bangunan untuk kilang-kilang beroperasi.
Dia berjaya mendapatkan kerja di sebuah kilang plastik tetapi dia perlu bekerja mengikut syif, iaitu pagi, petang dan malam. Firdaus sanggup terima kerana ingin mencari pengalaman.
Pada hari pertama Firdaus melaporkan diri, dia di tempatkan di bahagian memproses plastik. Kumpulannya terdiri daripada empat orang termasuk seorang penyelia bernama Ah Fat manakala dua pekerja lagi seorang lelaki Cina bernama Ah Chong dan seorang lelaki India bernama Gunalan.
Waktu mula bekerja mengikut syif, Firdaus mengalami kejutan budaya. Dia berasa tubuh badannya lemah longlai kerana jadual tidurnya berubah tidak seperti biasa. Lama juga dia kemamaian. Namun lama kelamaan Firdaus dapat menyesuaikan diri dengan situasi kerja tiga syif.
Firdaus berasa seronok bekerja di kilang plastik itu. Apatah lagi dia dapat berkawan dengan berbilang bangsa. Paling mengejutkan Firdaus tentang penyelianya, Ah Fat.
Dia tidak menyangka sama sekali bahawa Ah Fat sangat fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Jika tidak melihat wajahnya, mungkin orang beranggapan orang Melayu yang bercakap. Dan paling mengejutkan Firdaus, Ah Fat sangat pandai berpantun dan mahir membaca dan menulis Jawi.
“Dari mana awak belajar bercakap bahasa Melayu ni, Ah Fat. Fasih sangat ni!” Tanya Firdaus ketika sedang berehat.
“Saya ini orang Melaka, Daus. Tinggal pula dalam kawasan orang Melayu. Berkawan dengan orang Melayu. Bersekolah di sekolah kebangsaan dari darjah satu sampai tingkatan lima. Sebab itulah saya fasih bercakap bahasa Melayu,” terang Ah Fat sambil menikmati makanan yang dibawa dari rumah.
“Awak tahu tak apa kelebihan orang Melaka?” Tanya Ah Fat.
“Entah lah. Saya ini bukan orang Melaka,” jawab Firdaus menggelengkan kepala.
“Orang Melaka ini pandai berpantun. Sebab itu, Melaka terkenal dengan Dondang Sayang. Mereka hebat berpantun,” ujar Ah Fat.
“Ah Fat pandai berpantun ke?” Tanya Firdaus ingin menguji.
“Dah nama orang Melaka. Mesti lah pandai. Dengar ini pantun saya:
Di sini ayam di sana ayam,
Dua-dua mematuk padi;
Di sini diam di sana diam,
Dua-dua merajuk hati.”
“Wowww! Hebat pantunnya! Di mana pula Ah Fat belajar membaca dan menulis Jawi?” Tanya Firdaus ingin tahu.
“Belajar di sekolah lah. Saya ambil subjek agama Islam. Saya lulus dapat A,” beritahu Ah Fat. Menganga mulut Firdaus mendengarnya.
“Jom masuk kerja. Waktu rehat sudah habis,” kata Ah Fat.
Sejak Firdaus mengetahui kelebihan Ah Fat, dia rasa terdorong ingin mengetahui dan mempelajari seni pantun. Malah hubungan Firdaus dan Ah Fat semakin akrab. Firdaus makin serasi bekerja di kilang plastik itu.
Suatu hari ketika sedang berehat dan menikmati makan malam di bilik rehat di kilang, Firdaus berbual-bual dengan Ah Fat tentang seni pantun. Tiba-tiba Ah Fat mengajukan satu soalan kepada Firdaus.
“Daus, emak awak mesti pandai masak kan?”
“Mesti lah pandai masak. Namanya pun ibu. Tiada yang lebih sedap selain masakan ibu. Kenapa Ah Fat tanya?” ujar Firdaus.
“Boleh tak saya bagi duit, nak minta tolong emak Daus masakkan sambal udang petai? Saya suka makan sambal udang petai yang dimasak oleh orang Melayu. Duit itu buat beli udang, bahan-bahan masakan dan upah masak,” beritahu Ah Fat tentang keinginannya.
“Macam orang mengidam pula. Nanti saya tanya emak dulu. Emak hendak buat atau tidak,” kata Firdaus sambil ketawa kerana geli hati mendengar permintaan Ah Fat.
Apabila Firdaus memberitahu emaknya tentang keinginan Ah Fat, emaknya bersetuju. Setelah menerima duit daripada Ah Fat, emaknya membeli segala keperluan bahan-bahan untuk membuat sambal udang petai.
Firdaus membawa sambal udang petai yang telah dimasak oleh emaknya ke kilang pada minggu dia bekerja syif malam.
Malam itu ketika waktu rehat, Ah Fat makan dengan berselera sekali. Ah Fat turut mengajak Ah Chong dan Gunalan makan sambal udang petai.
Malam itu Firdaus dapat merasakan keakraban yang terjalin antara mereka. Sejak itu bila Ah Fat teringin makan sambal udang petai, dia akan meminta emak Firdaus memasaknya.
Masa berlalu terlalu pantas. Hampir setahun Firdaus bekerja di kilang plastik itu. Firdaus berasa serba salah hendak memberitahu kawan kumpulan syifnya.
Firdaus terpaksa berhenti bekerja di kilang plastik kerana mendapat tawaran kerja sebagai penjawat awam. Malam itu ketika sedang waktu rehat, Firdaus menyampaikan berita tersebut.
“Ah Fat, saya hendak beritahu sesuatu,” kata Firdaus dengan nada perlahan.
“Pasal apa itu?”
“Saya akan berhenti kerja. Saya dapat kerja dengan kerajaan” jelas Firdaus. Matanya memandang ke lantai.
“Apa??? Awak akan berhenti!!!” Sampuk Gunalan dengan suara yang nyaring.
Ah Fat, Ah Chong dan Gunalan menghampiri Firdaus.
“Firdaus, saya faham kenapa awak akan berhenti. Demi masa depan awak. Saya doakan awak berjaya dalam kerjaya baru awak.
“Saya harap persahabatan kita bertiga berkekalan. Saya akan ingat sambal udang petai emak awak sampai bila-bila. Memang sedap sangat!” kata Ah Fat. Suaranya bergetar seperti menahan sesuatu.
Ah Fat mendekati Firdaus dan spontan kedua-dua tangannya memeluk Firdaus dengan erat.
Spontan juga Ah Chong dan Gunalan turut memeluk Firdaus. Suasana menjadi sunyi. Hanya bunyi nafas dan mesin memproses plastik yang menangkap di gegendang telinga. Spontan juga mata Firdaus bergenang.
ii
Setelah hampir lima tahun Firdaus tinggal di rumah teres yang dibelinya di Taman Madani, barulah dia menyedari selang tiga pintu dari rumahnya adalah lelaki Cina yang bekerja di kilang plastik dulu.
Dia memang ingat lelaki itu kerana bertugas sebagai penyelia di bahagian sumber manusia. Namanya Ah Fook. Itupun Ah Fook yang menegurnya dahulu.
“Dulu awak ada kerja kilang plastik bukan?” Tanya Ah Fook menegur Firdaus yang sedang menyapu sampah di hadapan rumah.
“Ye betul. Kilang plastik di Bandar Kembangan,” jawab Firdaus.
“Saya Ah Fook lah. Adik taukeh kilang plastik. Awak sudah lupa kah?” Beritahu Ah Fook.
“Laaaaa, Ah Fook. Awak pun beli rumah di sini! Awak masih kerja di kilang plastik tu? Bukan kilang plastik tu sudah tutup?” Teriak Firdaus. Dia tidak sangka dapat berjumpa semula dengan Ah Fook.
“Saya masih kerja. Saya adik taukeh kilang. Mana boleh berhenti. Kilang itu bukan tutup. Kilang itu sudah pindah di tempat lain,” beritahu Ah Fook.
“Ah Fat masih bekerja di sana?” Tanya Firdaus yang tiba-tiba teringatkan Ah Fat.
“Ah Fat sudah mati,” ujar Ah Fook dengan nada perlahan.
“Bila? Sebab apa dia mati?” Tanya Firdaus yang terperanjat mendengar berita itu.
“Sudah lama. Kira-kira lima tahun lalu. Mati sebab sakit kanser,” suara Ah Fook seperti kesedihan.
Firdaus terkedu mendengar berita itu. Hatinya berasa sebak. Tiba-tiba dia teringat pelukan Ah Fat. Dia terbayang Ah Fat sedang makan sambal udang petai yang dimasak oleh emaknya dengan cukup berselera. -UTUSAN










