Tiga lelaki sesat di Bukit Janda Mandi ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Tiga lelaki sesat di Bukit Janda Mandi ditemukan selamat

TIGA mangsa yang sesat ketika mendaki Bukit Janda Mandi, Kijal, Kemaman ditemukan selamat, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Operasi mencari dan menyelamat tiga lelaki yang sesat ketika mendaki di kawasan rekreasi Bukit Janda Mandi, Kijal, dekat sini, pagi semalam berakhir selepas ketiga-tiga mangsa selamat dibawa turun ke kaki bukit oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.

Operasi menyelamat ketiga-tiga mangsa iaitu Ahmad Daniel Irfan Ahmad Redzman,19, Muhammad Khairul Izzat Abas, 21, dan Muhammad Amin Amiruddin Sabirin,18, mengambil masa kira-kira lapan jam.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, anggota bomba berjaya menemukan mangsa kira-kira pukul 8 malam selepas terpaksa mendaki bukit hampir tiga jam dalam keadaan hujan dan gelap.

“Operasi membawa turun mangsa mengambil sedikit masa berikutan kita mencuba beberapa laluan untuk masuk mengambil mangsa menggunakan kenderaan pacuan empat roda menerusi jalan balak berhampiran kuari berdekatan.

“Kita berjaya membawa turun mangsa selepas hampir lima jam dan ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan baik,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, tiga lelaki dilaporkan sesat ketika mendaki bukit tersebut kira-kira pukul 10 pagi semalam.

Mangsa yang tidak menemukan jalan keluar menghubungi pasukan penyelamat kira-kira pukul 4.30 petang sebelum pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya