WASHINGTON: Pendaki Amerika Syarikat (AS), Tyler Andrews mencipta rekod baharu pendakian terpantas menggunakan oksigen tambahan di Gunung Everest pada Khamis, menurut pasukannya kepada AFP.
Beliau mendaki gunung itu dengan menawan puncak tertinggi dunia itu sejam lebih pantas berbanding rekod sebelumnya.
Andrews, 36, mendaki puncak setinggi 8,849 meter itu dalam tempoh hanya 9 jam 55 minit, sekali gus memecahkan rekod 10 jam 56 minit yang dipegang sejak 2003 oleh pendaki Nepal, Lhakpa Gelu Sherpa.
Masa tersebut masih memerlukan pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa pendakian Nepal.
Andrews tiba di puncak Everest sejurus sebelum subuh pada Khamis, menurut hantaran di Instagramnya yang turut memaparkan penjejakan Sistem Penentu Sejagat (GPS) secara langsung bagi laluannya.
“Beliau tiba di puncak Everest hanya dalam tempoh 9 jam 55 minit,” kata ketua pasukan Asian Trekking, Dawa Steven Sherpa kepada AFP.
Pasukan Asian Trekking berkata, Andrews melengkapkan pendakian solo dengan pemandu arah menyediakan oksigen tambahan, makanan dan air dengan memantau pendakiannya.
Beliau sebelum ini cuba memecahkan rekod pendakian Everest tanpa oksigen tambahan dengan masa 22 jam 29 minit pada awal Mei, namun terpaksa berpatah balik.
Andrews, yang menyatakan dirinya seorang bekas pesakit kanser, sedang mengumpul dana bagi membantu atlet muda yang tidak mempunyai akses kepada jurulatih dan peralatan di Ecuador dan Nepal.
Lebih 950 pendaki telah berjaya menawan puncak Everest pada musim ini, ketika tempoh cuaca sesuai untuk pendakian semakin hampir berakhir.
Lima orang maut pada musim ini, dua rakyat India dan tiga pendaki Nepal yang terlibat dalam persiapan pendakian Everest. – AFP










