KUALA LUMPUR: Konsert Reunion Hyperact 15 Years Journey yang bakal berlangsung pada 3 Februari tahun depan menjadi bukti kumpulan popular tersebut tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama di atas satu pentas.
Menampilkan ketiga-tiga vokalis kumpulan tersebut, pengasas band terbabit, Toi atau nama sebenar, Khairul Nizam Baharom, 45, berkata, perpecahan yang berlaku sebelum ini adalah berpunca daripada isu luaran.
“Apa yang berlaku pada 2018 adalah terlalu peribadi untuk dikongsikan. Tetapi ketika itu, biarpun berlakunya perpecahan antara dalam kumpulan, kami masih bersahabat.
“Malah, saya sendiri dan dua bekas vokalis, Ronnie Hussein dan Kecik lebih selesa dengan kerjaya solo masing-masing. Untuk kembali menyertai Hyper Act itu pudar harapannya.
“Tiada konflik atau isu pergaduhan antara kami. Tetapi untuk ulang tahun ke-15 Hyper Act, lebih baik kami fokus kerana ramai peminat mahu lihat kami bergabung semula di atas satu pentas,” katanya.
Dalam pada itu, konsert yang bakal berlangsung 3 Februari depan itu menjadi bukti keutuhan jenama Hyper Act biarpun telah melalui pelbagai fasa perpecahan yang mencetuskan kontroversi.
Pada konsert tersebut, selain Firman Bansir selaku vokalis utama serta dirinya (gitar bass dan penyanyi kedua) serta Freddy (gitar utama), Etan (gitar) dan Ejam (dram), dua bekas vokalis iaitu Ronnie bersama Kecik turut tampil menghangatkan pentas.
“Sebenarnya perancangan menggabungkan semua anggota Hyper Act tercetus sejak sebelum fasa dunia diserang Covid-19, cuma baru sekarang dapat direalisasikan.
“Sebelum ini, ada yang tuduh saya ketua yang gila kuasa atau suka membuang ahli sesuka hati, tentu ada hal lain sebab saya sendiri pun sebelum ini angkat kaki.
“Jadi apa kata datang saja ke konsert kami nanti yang unik kerana membariskan tiga vokalis, malah biar apa pun kami anggap apa yang berlaku ada hikmah,” ujarnya.
Untuk info, Konsert Reunion Hyperact 15 Years Journey yang bakal berlangsung di KWC Starxpo Kuala Lumpur pada 3 Februari tahun depan dianjurkan Redvena Music dengan kerjasama Talent Toy Production.
Tempahan tiket berharga antara RM115 sehingga RM295 boleh ditempah di ticket2u.com.my bermula 24 Oktober ini.










