TH peroleh RM2.89 bilion sembilan bulan pertama 2023 

Dewan Negara: TH peroleh RM2.89 bilion sembilan bulan pertama 2023 

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) merekodkan pendapatan sebanyak RM2.89 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun 2023, sekali menyaksikan kedudukan kewangannya lebih baik berbanding RM2.32 bilion bagi tempoh sama tahun 2022. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, peningkatan tersebut dicapai dengan usaha-usaha pelaburan berhemah yang berpandukan Alokasi Aset Strategik. 

“Alokasi aset ini sebagai paksi penentuan alokasi pelaburan berdasarkan tahap risiko dan kecairan setiap kelas pelaburan, di sebalik suasana ekonomi dunia yang mencabar dan tidak menentu dalam tempoh tersebut,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa meminta kerajaan menyatakan status kedudukan kewangan Tabung Haji dan sejauh mana kelestarian pentadbiran institusi itu untuk menghadapi cabaran-cabaran mendatang. 

Mengulas lanjut, kata Mohd. Na’im, pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap menyumbang kepada pendapatan yang stabil sebanyak RM1.63 bilion iaitu meningkat sebanyak 16 peratus. 

Katanya, pelaburan ekuiti pula menyumbang pendapatan sebanyak RM424 juta atau meningkat enam peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2022. 

Selain itu, katanya, pelaburan hartanah menyumbang sebanyak RM253 juta manakala pelaburan instrumen pasaran wang menjana pendapatan sebanyak RM217 juta diikuti pendapatan lain sebanyak RM365 juta. 

“Tabung Haji akan terus mengekalkan langkah-langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah bagi memastikan pengurusan perbelanjaan yang cekap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN