KLANG: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) dengan kerjasama ESR memperluaskan E-Metro Logistics Park menerusi pembangunan dua fasiliti logistik Gred A baharu, Metrohub 3 dan Metrohub 4 di Bandar Bukit Raja, Selangor.
Pembangunan itu akan menambah lebih 2.2 juta kaki persegi ruang gudang, sekali gus mengukuhkan E-Metro Logistics Park sebagai antara hab logistik dan perindustrian utama negara.
Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Mohd. Zary Affendi Mohd. Arif berkata, pembangunan itu menyokong peningkatan permintaan terhadap gudang Gred A yang dipacu oleh pertumbuhan e-dagang, sektor pembuatan serta aliran perdagangan serantau.
“Projek seperti ini bukan sahaja menarik pelaburan domestik dan asing, malah mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta merangsang pertumbuhan industri sokongan, daripada sektor pengangkutan hingga perkhidmatan.
“Seiring Klang terus berkembang sebagai bandar perindustrian dan urban, pembangunan seperti E-Metro Logistics Park akan memainkan peranan yang semakin penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi serta memperkukuh daya saing kawasan ini,” katanya semasa Majlis Pelancaran Metrohub 4 dan Pecah Tanah Metrohub 3 di sini, semalam.
Pembangunan Metrohub 3 dan Metrohub 4 dilaksanakan bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat terhadap ruang logistik moden di Selangor.
Sebelum ini, Metrohub 1 dan Metrohub 2 telah mencapai kadar penghunian penuh oleh syarikat dalam sektor e-dagang, logistik pihak ketiga (3PL) dan rantaian bekalan.
Metrohub 4 dengan keluasan kira-kira 1.38 juta kaki persegi merupakan gudang siap bina berbilang penyewa terbesar dalam portfolio Metrohub.
Fasiliti itu akan menempatkan pusat pengedaran serantau MIXUE sebagai pelanggan pra komited pertama, meliputi kira-kira 13.4 peratus daripada keluasan boleh disewa bersih.
Metrohub 3 pula dijangka siap pada suku ketiga 2027 dengan keluasan kira-kira 840,000 kaki persegi, termasuk kemudahan penyimpanan barangan berbahaya bagi memenuhi permintaan industri, khususnya susulan peningkatan import komponen kenderaan elektrik (EV) seperti bateri litium.
Sementara itu, Pengarah Urusan Pembangunan Hartanah Sime Darby Property, Datuk Ir. Mohd Sohimin Mohd Alayedin berkata, E-Metro Logistics Park merupakan komponen penting dalam rantaian nilai sektor perindustrian dan logistik di Bandar Bukit Raja.
Katanya, Sime Darby Property kini memiliki kira-kira 2.5 juta kaki persegi ruang gudang di Bandar Bukit Raja yang membentuk sebahagian besar daripada Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) syarikat bernilai RM4.4 bilion.
“Kami memahami bahawa kerjasama strategik yang kukuh penting bagi merealisasikan nilai sebenar bank tanah yang dimiliki.
“Justeru, kami menubuhkan SDPLOG, platform pengurusan dana menerusi usaha sama dengan Kumpulan ESR,” katanya.
Beliau berkata, platform itu memanfaatkan kekuatan Sime Darby Property dalam pasaran tempatan, bank tanah dan kepakaran pembangunan untuk menyediakan aset perindustrian bertaraf institusi.
“Ketika ini, kami menguruskan Dana Pembangunan Perindustrian patuh syariah bernilai RM1 bilion yang disokong pelbagai pelabur institusi, termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Great Eastern,” katanya. – UTUSAN










