Johor memilih, masa hadapan negeri ditentukan hari ini

Johor memilih, masa hadapan negeri ditentukan hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini, lebih 2.73 juta pengundi Johor akan melaksanakan tanggungjawab paling penting dalam sebuah demokrasi iaitu memilih kerajaan yang bakal mentadbir negeri untuk lima tahun akan datang.

Tempoh berkempen sudah berakhir. Kini, segala-galanya bergantung kepada keputusan rakyat. Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini berlangsung dalam suasana politik yang jauh lebih matang, tetapi pada masa sama lebih kompleks berbanding pilihan raya terdahulu.

Persaingan bukan lagi sekadar antara dua blok politik, sebaliknya membabitkan pelbagai gabungan, strategi dan kemungkinan pembentukan kerajaan pasca pilihan raya sekiranya tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah.

Keadaan itu menyebabkan keputusan hari ini mungkin bukan sahaja menentukan siapa mentadbir Johor, malah bakal menjadi penanda aras kepada landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Sepanjang tempoh berkempen, hampir semua gabungan politik memberi penekanan kepada isu yang dekat di hati rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pembangunan ekonomi, pendidikan, kemudahan asas serta usaha menarik lebih banyak pelaburan ke Johor.

Namun, rakyat sebenarnya hanya mahukan sebuah kerajaan yang mampu mentadbir dengan cekap, stabil dan konsisten.

Ketidakstabilan politik bukan sekadar menukar kerajaan atau pemimpin tetapi turut memberi kesan kepada keyakinan pelabur, kelancaran dasar pembangunan serta sentimen pasaran.

Johor berada dalam kedudukan yang amat strategik. Negeri ini merupakan pintu masuk utama perdagangan antarabangsa, hab perindustrian, pusat logistik dan destinasi penting pelaburan domestik serta asing.

Projek-projek mega seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan Forest City dan Pelabuhan Tanjung Pelepas memerlukan kesinambungan dasar serta pentadbiran yang diyakini.

Atas sebab itu, kestabilan politik bukan lagi sekadar slogan kempen, sebaliknya menjadi keperluan ekonomi.

Dalam beberapa hari terakhir kempen, kenyataan pe­mimpin Pas yang tidak menolak kemungkinan membantu Barisan Nasional membentuk kerajaan sekiranya berlaku situasi Dewan Undangan Negeri tergantung turut membuka dimensi baharu dalam percaturan politik Johor.

Senario seperti itu sebenarnya bukan lagi sesuatu yang asing dalam politik Malaysia. Kerjasama rentas parti pernah berlaku di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Yang menjadi ukuran bukanlah siapa bekerjasama de­ngan siapa, tetapi sejauh mana kerjasama itu benar-benar mampu menghasilkan sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti dan berfungsi.

Jika keputusan malam ini memberikan mandat jelas kepada mana-mana gabungan, keputusan itu sewajarnya diterima dengan hati terbuka. Demokrasi menuntut semua pihak menghormati pilihan majoriti.

Walaupun ramai menjangkakan Barisan Nasional (BN) berpeluang memperoleh mandat membentuk kerajaan, kemungkinan tiada mana-mana parti atau gabungan mencapai majoriti mudah tetap tidak boleh diketepikan.

Jika senario itu berlaku, sebarang rundingan membentuk kerajaan perlu dilaksanakan secara telus, berlandaskan Perlembagaan serta mengutamakan kepentingan Johor. – UTUSAN

Intan Suhana Che Omar adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia.