AS-Iran akan teruskan rundingan - Utusan Malaysia

AS-Iran akan teruskan rundingan

Rakaman video Markas Pusat AS memaparkan satu siri serangan baharu AS dilancarkan ke atas Iran pada 9 Julai lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan meneruskan run­dingan teknikal dengan Iran dan kekal komited untuk mencari penyelesaian terhadap kon­flik antara kedua-dua negara, meskipun kedua-duanya saling melancarkan serangan udara sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Menurut laporan MS Now yang memetik seorang pegawai AS, Presiden Donald Trump menyatakan pendiriannya de­ngan jelas dan menyifatkan serangan Iran terhadap kapal dagang di Selat Hormuz sebagai ‘tindakan keganasan’.

Kenyataan itu dibuat selepas Trump mendakwa gencatan senjata dengan Iran sudah berakhir ketika temu bual dengan wartawan di sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Ankara, Turkiye dalam minggu ini.

Pegawai AS itu berkata, memorandum persefahaman (MoU) antara Washington dan Teheran bergantung kepada pematuhan kedua-dua pihak terhadap komitmen yang dipersetujui dan menyifatkan tindakan Iran sebagai kegagalan memenuhi komitmen pada tahap yang sama sekali tidak boleh diterima. 

Beliau bagaimanapun berkata, rundingan dengan Teheran akan diteruskan.

Gencatan senjata yang dime­terai bulan lalu kini berada dalam keadaan semakin rapuh selepas tentera AS dan Iran saling melancarkan serangan minggu ini.

“Saya tidak mahu lagi berurusan dengan mereka (Iran),” kata Trump pada sidang kemun­cak NATO itu.

Dalam perjalanan pulang dari sidang kemuncak berke­naan, Trump berkata, Iran menghubungi Washington bagi mencapai satu perjanjian untuk menghentikan peningkatan konflik di Asia Barat.

“Mereka menghubungi sebentar tadi. Mereka benar-benar mahu mencapai satu perjanjian. Cuma saya tidak pasti sama ada mereka layak untuk membuat perjanjian. Saya juga tidak pasti mereka akan mematuhinya, itulah masalahnya,” katanya.

Pegawai Iran pula menuduh AS melanggar MoU dengan mendakwa Washington tidak menghormati pengaturan Iran di Selat Hormuz, terus mengugut untuk melancarkan serangan lanjut dan mengembalikan sekatan terhadap eksport mi­nyak Iran.

Iran didakwa menyerang tiga kapal komersial di laluan perkapalan strategik itu pada Isnin dan Selasa lalu.

Tindakan itu mengundang siri serangan balas AS yang menyasar 90 lokasi sistem pertahanan Iran, rangkaian arahan dan kawalan, tapak radar pantai, keupayaan peluru berpandu antikapal, serta kemudahan milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC). 

Serangan itu turut melibatkan dua jambatan di  timur yang terletak di laluan kereta api menuju ke kota suci Mashhad, lokasi pengebumian Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei. 

Kementerian Luar Iran menegaskan tindakan AS yang mengorbankan 17 orang dan mencederakan 78 lain itu sebagai jenayah perang yang serius. 

IRGC kemudian mendakwa ia menyasarkan beberapa pangkalan tentera AS di Bahrain, Jordan dan Kuwait Serangan rentas sempadan itu menyebabkan siren amaran serangan udara diaktifkan di Bahrain dan Kuwait.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN