Terus 'berkampung' di kedutaan AS demi Palestin

Terus ‘berkampung’ di kedutaan AS demi Palestin

REAKSI peserta demonstrasi himpunan aman 'Kepung Demi Palestin' di pekarangan Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak di sini, kelmarin.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekretariat Solidariti Palestin bertegas akan terus ‘berkampung’ berhampiran kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara dalam kempen ‘Kepung Demi Palestin’ sehingga Ahad ini sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin yang dizalimi Israel.

Walaupun tidak dibenarkan memacakkan khemah, namun, Sekretariat Solidariti Palestin akan berusaha untuk mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, untuk berbuat demikian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Chua Tian Chang atau Tian Chua berkata, pihaknya tiada masalah dengan mana-mana pihak dan tidak mahu berkonfrontasi dengan sesiapa pun dalam menyuarakan solidariti terhadap nasib menimpa rakyat Palestin ketika ini.

Menurutnya, kempen ‘Kepung Demi Palestin’ dengan tidur di dalam khemah adalah suatu simbolik kepada nasib kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin yang kini terpaksa berlindung di bawah lapisan plastik nipis untuk teruskan kehidupan selepas kediaman mereka hancur dibedil tentera Israel.

“Isu keselamatan terhadap kakitangan kedutaan atau orang awam tidak timbul kerana khemah yang kami mahu pasang adalah untuk meletakkan barangan peribadi dan tidur sebagai solidariti terhadap nasib rakyat Palestin ketika ini.

“Walaupun tidak dibenarkan memasang khemah semalam (kelmarin), tetapi kami tetap menghantar surat pemberitahuan kepada Datuk Bandaraya Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah untuk memperjelaskan tindakan kami.

“Tiada langsung niat untuk menimbulkan suasana tegang atau pun berkonfrontasi dengan mana-mana pihak. Kami hanya mahu menyuarakan rasa tidak puas hati kami kepada AS sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu berkata, tindakan pihaknya adalah selaras dengan pendirian Kerajaan Malaysia yang sentiasa bertegas terhadap isu Palestin.

“Kami cuma mahu menunjukkan protes terhadap AS yang menggunakan kuasa veto bagi menggagalkan resolusi gencatan senjata pada Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sebelum ini.

“Ini juga sebagai satu bentuk menunjukkan ketegasan rakyat Malaysia terhadap tindakan AS menyokong pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas rakyat Palestin, wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Jelas Tian Chua, sokongan AS terhadap Israel secara membuta tuli menyebabkan angka kematian membabitkan kanak-kanak dan wanita di Gaza meningkat saban hari.

“Selama ini, AS adalah juara apabila bercakap soal hak asasi manusia, namun tindakan mereka menyokong Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Palestin membuatkan mereka tidak layak lagi menjadi jurucakap dalam hal berkaitan hak asasi manusia di dunia ini,” katanya.

Kempen ‘Kepung Demi Palestin’ mendapat sokongan 63 organisasi badan bukan kerajaan (NGO), persatuan mahasiswa termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang dilaksanakan mulai kelmarin sehingga Ahad ini bagi menuntut gencatan senjata di Palestin.

Antara NGO yang menyokong solidariti ini adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Al-Quds, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH Youth) dan Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia (GBSM).

Selain itu, kempen turut disokong oleh organisasi politik seperti Muda, Pemuda Pas, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Angkatan Muda Keadilan (AMK), Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu), Wanita Keadilan, Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) dan banyak lagi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN