Tentera Israel sengaja tembak mati kanak-kanak

Tentera Israel sengaja tembak mati kanak-kanak

Kanak-kanak Palestin, Bassem Abu Al-Wafa (kiri) dan Adam Samer Al-Ghoul yang mati ditembak tentera Israel di Tebing Barat, Rabu lalu. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBING BARAT: Dua kanak-ka­nak adalah antara empat lagi rak­yat Palestin yang ditembak tentera Zionis semasa pen­ce­ro­bohan terbaharu di Tebing Barat, Rabu lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin, ke­dua-dua identiti kanak-kanak le­laki itu dikenal pasti sebagai Adam Samer Al-Ghoul dan Bassem Abu Al-Wafa.

Adam, 8, dan Bassem, 15, di­tembak semasa pencerobohan tentera Israel di bandar Jenin pa­da Rabu.

Agensi berita WAFA turut me­nyiarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) detik terakhir sebelum Adam dan Bassem ditembak.

WAFA memetik saksi berkata, tentera Israel melepaskan tembakan peluru hidup secara langsung ke arah mangsa menyebabkan kedua-duanya rebah dan berlumuran darah.

Kedua-duanya ditembak da­lam kejadian berasingan pada ha­ri sama.

Dalam pada itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memberitahu, mereka dihalang daripada mendekati penduduk yang cedera di Jenin, namun tidak menyebut secara khusus mana-mana mangsa.

Pengarah Hospital Khalil Suleiman, Dr. Wissam Bakker berkata, tentera Israel turut bertindak biadab apabila mengepung fasiliti itu dan menghalang mana-mana mang­sa yang cedera daripada memasuki unit kecemasan.

Wissam percaya, tentera Israel memang sengaja melepaskan tembakan ke arah kedua-dua mangsa bawah umur itu berdasarkan tempat peluru tersebut mendarat.

“Kedua-dua budak lelaki itu ditembak di bahagian atas badan. Peluru mengenai dada dan otak mereka.

“Ini membuktikan tentera Israel memang berniat membunuh mangsa yang jelas tidak mendatangkan sebarang ancaman berbahaya,” ujarnya.

Setakat ini, hampir 240 rak­yat Palestin dibunuh tentera mahupun pendatang ha­ram Yahudi ketika keganasan semakin memuncak di Tebing Barat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×