PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru kerjasama Kementerian Pendidikan, pemimpin masyarakat tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkaitan dalam menangani keperluan pendidikan kanak-kanak Pulau Omadal, tanpa mengira latar belakang mereka.
Suhakam berkata, perkara itu sejajar dengan komitmen kerajaan terhadap Agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 agar tiada kanak-kanak yang ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan berkualiti.
Justeru, katanya, susulan bantahan terhadap penubuhan sebuah pusat pembelajaran alternatif, Iskul Sama DiLaut Omadal di Pulau Omadal, Sabah, pihaknya teguh menegaskan komitmen terhadap hak pendidikan untuk semua kerana ia adalah asas kemanusiaan dan perkembangan setiap individu.
“Sejajar dengan pembaharuan perjanjian persefahaman (MoU) tiga pihak mengenai Isu Tanpa Kewarganegaraan di Sabah, Suhakam bersama Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina (CHRP) telah melawat pusat itu pada 8 September 2023.
“Suhakam telah membuat pemerhatian secara langsung kepentingan usaha Iskul dalam memberikan pendidikan asas kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.
“Menyedari peranan penting Iskul dalam menangani jurang pendidikan, pejabat Suhakam Sabah telah mengadakan mesyuarat pada bulan November untuk meneroka langkah sokongan agar Iskul dapat terus beroperasi dan permohonan mereka untuk didaftarkan sebagai pusat bimbingan alternatif (PBA) dapat diluluskan,” kata dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Suhakam memuji penubuhan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang bertujuan untuk menyediakan akses kepada pendidikan yang sama rata untuk semua golongan muda, termasuk kanak-kanak yang tercicir, kanak-kanak jalanan dan kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah.
“Oleh itu, kami berharap Iskul juga akan dibenarkan untuk meneruskan operasinya dan SBJK yang sedia ada dapat diperuntukkan dengan kemudahan yang bersesuaian agar kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan inklusif yang berkualiti dan saksama,” katanya.
Menurutnya, Suhakam yakin ruang yang selamat untuk kanak-kanak mendapat akses pendidikan akan menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat.
“Usaha ke arah tiada diskriminasi terhadap akses kepada pendidikan adalah penting untuk semua kanak-kanak di Malaysia dan Suhakam sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan membantu kerajaan menangani perkara ini,” jelasnya. – UTUSAN









