Tangani isu beras tempatan 'hilang'

Tangani isu beras tempatan ‘hilang’

Pesawah mahu kerajaan turut mengambil tindakan terhadap kartel beras yang turut mempengaruhi harga di pasaran dan berselindung di sebalik beras import. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta segera mengatasi isu harga beras berharga ‘kayangan’ yang terus mencengkam kehidupan rakyat.

Tinjauan Utusan Malaysia di Temerloh, Jerantut dan Maran mendapati, hanya beras import dijual di kedai runcit dan pasar raya sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna ke mana ‘hilangnya’ beras tempatan.

Rata-rata pengguna yang ditemui turut mempersoal ketulenan beras import dijual atau ia hanya ditukar bungkusan daripada beras tempatan demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Seorang peniaga restoran, Meor Shahriman Ghafar berkata, beras pelbagai jenama lima kilogram yang dulunya berharga antara RM13 dan RM14 kini dijual sekitar RM24.

Katanya, bagi beras 10 kilogram yang dahulunya RM25, ia kini dijual lebih RM40 dan begitu membebankan.

“Kerajaan seolah-olah terlepas kawalan berkaitan harga beras menyebabkan pemborong atau peniaga dengan mudah menaikan harga sekali ganda.

“Sebagai peniaga makanan, saya terpaksa menaikkan harga makanan termasuk nasi bagi menampung harga bahan mentah yang semakin meningkat secara mendadak.

“Kami berharap KPDN dan menterinya yang baharu dapat berperanan memastikan beras yang yang dijual benar-benar beras import,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia (Gapema) Pahang, Rohani Mahat merayu kerajaan menggunakan kuasanya bagi menurunkan harga makanan asasi rakyat Malaysia.

“Rakyat mahu subsidi kerajaan terhadap barangan keperluan asas diterjemahkan melalui harga beras dan lain-lain seperti minyak, tepung, gula dan lain-lain dapat dinikmati seperti sebelumnya,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penjaja Melayu Jengka, Abd. Latif Umar berharap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu, Datuk Armizan Mohd. Ali dapat menyelesaikan isu harga beras yang sekian lama membelenggu rakyat.

“Tumpuan harus diberikan bukan sahaja mengatasi masalah harga beras dan ‘kehilangan’ beras tempatan tetapi juga barangan keperluan harian lain seperti tepung, minyak masak, telur dan susu.

“Kerajaan dan Armizan diharap dapat bertindak tegas supaya peniaga dan pemborong tidak berani serta sewenang-wenangnya memanipulasi harga barangan keperluan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×