KUALA LUMPUR: Tiada pita sitaan dipasang di bangunan Menara Ilham milik keluarga seorang bekas Menteri Kewangan di Jalan Binjai di sini meskipun notis sitaan dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tinjaun Utusan Malaysia di lokasi berkenaan juga mendapati terdapat syarikat lain yang beroperasi di dalam menara itu juga bekerja seperti biasa.
Selain itu, tiada kawalan keselamatan juga dilakukan pada bangunan itu.
Seorang pekerja syarikat di dalam bangunan tersebut ketika ditemui berkata, beberapa syarikat di dalam bangunan tersebut beroperasi seperti biasa meskipun sedia maklum berhubung notis berkenaan.
“Tiada pergerakan ke arah mengosongkan unit yang kami sedang bekerja sekarang, semuanya masih dalam keadaan normal,” katanya.
Menara berkenaan dipercayai mempunyai ketinggian 274 meter merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata manakala sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah pangsapuri.
Terdahulu, laporan Channel News Asia (CNA) memetik sumber terdekat Daim memaklumkan tindakan sita dibuat susulan bekas anggota Kabinet itu enggan mematuhi arahan SPRM.
Menurut sumber itu, bekas menteri yang rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu enggan mengisytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarga.
Katanya, tindakan itu sebahagian daripada siasatan penggubahan wang haram yang bermula pada Mei lalu berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 melibatkan Renong Bhd. dan United Engineers Malaysia Bhd. (UEM).
Bagaimanapun, Daim menolak tuntutan tersebut dan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan perjanjian Renong-UEM.
Dalam perkembangan lain, menara itu adalah tempat pertemuan Majlis Penasihat Kerajaan, yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.
Laporan Utusan Malaysia pada Mei lalu mendedahkan, beberapa dokumen berkaitan pengambilalihan, dagangan saham dan penjualan saham melibatkan sebuah syarikat tersenarai sedang diperolehi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap dua tokoh terkemuka negara termasuk seorang bekas menteri berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 billion.
Kesemua dokumen ini dalam tindakan untuk diperoleh SPRM daripada beberapa penama, bank, syarikat gergasi, pemaju dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk dianalisa.
Lapor Utusan Malaysia juga, SPRM dalam fasa melakukan analisis kewangan terhadap pemilikan aset-aset berharga yang telah dikenal pasti oleh SPRM yang dimiliki oleh bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit yang berada di dalam dan di luar negara.
Siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit yang dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
Tumpuan siasatan SPRM berhubung penyelewengan ini adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.
Difahamkan juga transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan mata wang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk.
Justeru itu, kertas siasatan itu dibuka di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta, antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan dan dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri serta ahli keluarga mereka.
Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu. – UTUSAN










