GUA MUSANG: Lebih 200 keluarga di Kampung Kuala Tol di sini, menyifatkan serangan harimau belang meragut tiga nyawa dalam tempoh tiga minggu setakat ini sebagai insiden terburuk sejak mereka menduduki kawasan tersebut, lebih 55 tahun lalu.
Seorang warga emas, Mohd. Zain Ismail, 81, berkata, sepanjang lebih 55 tahun menetap di kampung itu, belum pernah ada kejadian manusia dibaham harimau.
“Ini adalah sejarah paling buruk apabila sudah empat orang dilaporkan maut di kawasan Pos Pasik, Kampung Meranto dan Kampung Kuala Tol.
“Sekarang ini penduduk nak cari makan dengan hasil tanaman di kebun sangat susah kerana ketakutan dengan ancaman harimau belang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Ismail Che Pa, 66, berkata, insiden itu menyebabkan lebih 100 pekebun terjejas punca pendapatan sekali gus menyaksikan mereka terpaksa berjimat-cermat.
“Sekarang ini penduduk duduk di rumah dan tidak boleh pergi mana-mana. Nak pergi ke sekolah pun ada yang terserempak dengan harimau.
“Saya berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak lebih agresif dalam usaha menangkap harimau kerana kita tidak mahu nyawa penduduk lain pula melayang,” ujarnya.
Sementara itu, Tuan Abdullah Tuan Ismail, 61, berkata, buat masa ini dia tidak berani ke kawasan ladang dan hutan sejak kejadian harimau membaham manusia dilaporkan.
Katanya, buat sementara waktu, dia berada di rumah kerana ingin menghindarkan diri daripada terserempak serta menjadi serangan Pak Belang.
“Sebelum ini saya pernah terdengar bunyi ngauman harimau dan terkejut dengan kejadian yang menimpa seorang warga Indonesia yang mencari rezeki menoreh getah di kampung ini.
“Kami berharap ada tangkapan haiwan liar dibuat oleh Perhilitan kerana sangat bimbang dengan keselamatan nyawa terutama ketika ingin ke kebun,” katanya.
Kelmarin, seorang lelaki warga Indonesia dilaporkan menjadi mangsa ketiga yang maut akibat dibaham harimau dalam tempoh tiga minggu selepas mayatnya ditemukan dalam mengerikan di kawasan ladang getah Kampung Kuala Tol, di sini.
Mangsa yang dikenali sebagai Syabaini, 36, dijumpai dengan anggota badan yang tidak sempurna apabila kehilangan tangan kanan, cedera pada bahagian leher dan kedua-dua ibu jari kaki. – UTUSAN










