Selangor sedia tubuh semula jawatankuasa khas Covid-19 - Utusan Malaysia

Selangor sedia tubuh semula jawatankuasa khas Covid-19

Covid-19 Selangor
AMIRUDIN Shari melepaskan burung sebagai simbolik merasmikan Karnival Ban Canal 2023 dekat Parit 14, Simpang Lima, Sungai Besar, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor bersedia menubuhkan semula jawatankuasa khas bagi menangani Covid-19 jika pandemik itu semakin meruncing di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang memperoleh data dan maklumat terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai jumlah kes yang direkodkan.

“Kerajaan negeri termasuk menerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam Selangor (SELPHAC) sentiasa memantau situasi pandemik berkenaan sehingga kini. Kita menyedari berlaku peningkatan kes di Selangor dan ia melibatkan gandaan jumlah kes.

“Jika mempunyai keperluan, kita akan tubuh semula jawatankuasa tangani Covid-19 yang ditutup sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Ban Canal 2023, hari ini.

Karnival selama tiga hari anjuran Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI) itu dihadiri lebih 10,000 pengunjung bagi mempamerkan identiti tempatan, penjagaan alam sekitar dan wawasan yang dikongsi bersama demi kelestarian masa depan.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan sebanyak 3,626 kes dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 iaitu dari 19 hingga 25 November lalu.

Jumlah itu meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya dan Selangor menjadi negeri tertinggi setakat ini.

Majoriti kes atau 48 peratus daripada melibatkan individu berusia 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Tambah Amirudin, situasi Covid-19 di Selangor setakat ini masih terkawal namun pihaknya bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita tidak pernah memandang rendah mengenai peningkatan kes yang berlaku dan mengambil kira pengalaman menanganinya sebelum ini.

“Justeru, saya menasihatkan individu yang bergejala dan dijangkiti supaya mengasingkan diri sebagai langkah mencegah penularan pandemik,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya