PETALING JAYA: Kekalahan calon Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu lalu dilihat sebagai menifestasi orang Melayu yang menolak kerjasama antara UMNO dengan DAP.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Hizatul Isham Abdul Jalil atau Isham Jalil, berdasarkan sejarah, Parlimen Kemaman merupakan kubu kuat UMNO sejak bertahun-tahun lamanya namun pada PRK baru-baru ini, lebih 70 peratus orang Melayu tidak lagi mengundi parti tersebut.
Katanya, keadaan itu tidak hanya berlaku pada PRK Kemaman sebaliknya hampir di seluruh negara seperti yang dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Ini (punca penolakan UMNO) saya sudah cakap banyak kali, apabila kita bersama-sama dengan DAP, orang Melayu tak yakin kita boleh perjuangkan orang Melayu dan Islam, jadi mereka beralih (sokongan) kepada parti lain.
“Satu lagi sebab yang menambahkan lagi kekalahan kita adalah, ada beberapa orang yang mempromosikan DAP dalam UMNO… Jadi saya nak cakap, cukup-cukuplah jadi penjilat DAP sebab kadang-kadang apabila kepentingan DAP tergugat, saya lihat orang ini yang lebih DAP daripada DAP.
“Mereka hendak pertahankan sangat DAP, hendak jilat sampai jadi ‘penjilat tegar’, itu membuatkan orang-orang Melayu tak suka,” katanya dalam satu video berdurasi 10 minit enam saat di Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, UMNO sepatutnya bertanya kenapa orang Melayu tidak menyokong mereka dan mengapa pengundinya tidak keluar beramai-ramai untuk mengundi di PRK Kemaman sedangkan jumlah undi Pas berjaya dikekalkan.
Menurutnya, pada PRK Kemaman, calon UMNO hanya mendapat 27,000 undi sahaja berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu sebanyak 38,000 undi.
“Sepatutnya dulu kita dapat 38,000 undi, campur undi PH 8,000 kita boleh dapat sekitar 46,000 tetapi kali ini hanya 27,000 sahaja.
“Berdasarkan pertemuan dengan pengundi di lapangan dan (tinjauan) panggilan telefon, alasan diberikan pengundi sama iaitu orang Melayu tidak selesa apabila UMNO dan BN pergi pilihan raya bersama DAP,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya orang UMNO tidak berlebih-lebihan dalam mempertahakan DAP sehingga digelar ‘barua DAP’ oleh orang Melayu.
“Jangan kita jadi tali barut DAP pula, orang Melayu tidak suka itu, jangan sampai kita digelar barua DAP, lagilah orang Melayu reject (tolak) kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Isham berkata, perjuangan beliau dalam politik hanyalah untuk melihat orang Melayu kembali bersatu padu disebabkan terlalu banyak perpecahan yang berpunca daripada pecahan parti politik.
Menurutnya, perpecahan yang berlaku menyebabkan orang Melayu tidak mampu menentang anasir yang ingin menjatuhkan kaum majoriti di negara atau menghapuskan hak mereka.
“Banyak sangat perpecahan dalam parti-parti Melayu di negara, jadi saya hendak lihat orang Melayu Islam kembali bersatu padu supaya kita boleh membina kembali negara ini. Jangan ada perpecahan.
“Kepada anasir yang hendak jadi talit barut kepada parti lain, hendak jadi barua untuk memecah belahkan orang Melayu ini, kita kena tentang habis-habisan,” katanya. –UTUSAN










