GUA MUSANG: Penduduk di Kampung Sungai Bayu Dalam di sini ‘menyifatkan’ hidup mereka umpama dalam buangan apabila masih tidak menikmati perkhidmatan rangkaian telefon dan internet untuk berhubung dengan dunia luar sejak sedekad lalu.
Seorang penduduk warga emas, Che Hussain @ Che Ahmad Che Kob, 75, berkata, masalah itu menyukarkan kehidupan kira-kira 50 penduduk jika berlaku kes kecemasan.
Menurutnya, penduduk terpaksa keluar melalui jalan ladang berbatu sejauh kira-kira tiga kilometer untuk mendapatkan rangkaian telefon dan capaian internet untuk berkomunikasi.
“Saya duduk di sini macam orang buangan apabila sukar mengetahui perkembangan semasa di kawasan luar kerana tidak mempunyai kemudahan talian telefon dan internet.
“Kami perlu keluar dan berada di pinggir jalan Gua Musang-Kuala Krai semata-mata untuk mendapatkan rangkaian telefon atau liputan internet. Kami harap pihak berwajib dapat mengambil perhatian supaya rakyat pedalaman dapat menikmati kemudahan telekomunikasi seperti penduduk di kawasan bandar,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Bayu Dalam semalam.
Che Hussain memberitahu, dia tinggal di tanah persendirian di kawasan kampung itu sejak tahun 2013 untuk membina rumah dan mengusahakan kebun.
Katanya, keperluan asas yang lain seperti bekalan elektrik dan air bersih telah disediakan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kesihatan.
Seorang lagi penduduk, Mek Som Awang, 73, berkata, ketiadaan rangkaian telekomunikasi menyebabkannya sukar untuk dihubungi pihak klinik kesihatan bagi mendapatkan tarikh temujanji untuk penyakit jantung dan darah tinggi yang dihidapinya.
Katanya, setiap bulan dia perlu mendapatkan ubat-ubatan dan setiap tiga bulan sekali mempunyai temujanji dengan doktor pakar.
“Dengan keadaan kesihatan sebegini penting untuk saya sentiasa berhubung dengan anak-anak termasuklah yang tinggal jauh di Kuala Lumpur. –UTUSAN










