PADANG BESAR: Orang ramai mengambil kesempatan sempena cuti perayaan Krismas dan hujung minggu untuk berkunjung ke Thailand apabila seawal pagi pelancong sudah mula sesak di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) dan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad Padang Besar di sini.
Difahamkan sebelum pintu pagar pos sempadan imigresen Malaysia-Thailand itu dibuka pada pukul enam pagi, lebih kurang enam biji bas sudah beratur untuk memasuki Thailand khususnya mereka yang ingin bercuti di Hatyai yang menjadi fenomena ketika ini.
Mereka dilihat beratur panjang sehingga lebih 100 meter sebelum sampai giliran untuk proses dokumentasi yang berjalan agak lancar tanpa memerlukan masa yang terlalu lama.
Waspada dengan lonjakan kes Covid-19 ketika ini, kebanyakan pelancong juga dilihat mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka.
Rata-rata mereka mengambil kesempatan cuti selama empat hari sehingga Isnin itu untuk mengunjungi Hatyai, Thailand selain beberapa lokasi pelancongan lain negara Gajah Putih itu.
Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Haziq Firdaus Mohd. Amin, 17, berkata, dia datang bersama 14 keluarganya untuk bercuti di Hatyai, Thailand selepas lebih tiga bulan merancang untuk ke sana.
Katanya, dia dan keluarga bertolak dari Kuala Lumpur dengan menaiki kereta api sebelum memasuki Thailand melalui sempadan di sini.
Ujarnya, difahamkan Hatyai dan pantai di sana cukup menarik selain makanan yang sedap dengan harga pula dikatakan cukup berpatutan.
“Sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, saya mengambil kesempatan untuk bercuti terlebih dahulu. Proses dokumentasi pun berjalan agak lancar meskipun terpaksa beratur panjang,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan, Hatyai di Thailand kini menjadi ‘mini’ Malaysia apabila setiap cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan dipenuhi pelancong negara ini.
Malah direkodkan dari awal tahun sehingga Oktober lalu, seramai tiga juta pelancong Malaysia memasuki Thailand khususnya untuk berkunjung ke Hatyai.
Pada minggu lalu, dalam tempoh empat hari dari 15 sehingga 18 Disember, sebanyak 15,397 rakyat Malaysia yang memasuki Thailand menerusi sempadan negeri ini.
Manakala di Kedah pula, lebih 80,000 pelancong dari negara ini direkodkan memasuki Thailand melalui dua pintu sempadan negeri tersebut pada minggu lalu.
Seorang lagi pengunjung, Hamiza Amira Hashim,39, pula berkata, dia menjangkakan Sabtu akan lebih ramai pengunjung memasuki Thailand melalui sempadan di sini.
“Seperti biasa setiap kali cuti sekolah dan hujung minggu, orang ramai akan pergi ke Thailand yang seolah-olah sudah menjadi trend ketika ini,” katanya. – UTUSAN











