KUCHING: Persekitaran yang selamat dan interaksi yang mudah dengan penduduk setempat antara faktor peningkatan warga asing memohon Program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program S-MM2H terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga asing yang rata-ratanya menjalankan banyak penyelidikan di Sarawak.
Katanya, antara faktor penambahan jumlah angka warga asing bagi S-MM2H ini adalah kerana persekitaran negeri Sarawak yang amat kondusif dan selamat.
“Selain itu, komunikasi dengan penduduk tempatan adalah mudah kerana bahasa Inggeris diguna secara meluas.
“Malah, budaya hormat-menghormati antara satu sama lain juga sangat tinggi. Justeru itu, kami juga meletakkan kadar bayaran levi yang munasabah kepada pemohon ini,” jelas Abdul Karim.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ibu Pejabat Aramaz Borneo Sdn. Bhd. di Kompleks Tun Jugah, di sini semalam.
Dalam pada itu, tambah Abdul Karim, penambahan warga asing yang datang ke negeri Sarawak dari negara seperti Singapura dan Hong Kong sedikit sebanyak memberi impak positif kepada ekopelancongan di negeri itu. – UTUSAN