KUALA NERUS: Enam sekeluarga berisiko hilang tempat berteduh apabila kediaman yang didiami sejak 21 tahun lalu menunggu masa untuk runtuh dan ‘ditelan’ ombak akibat fenomena hakisan pantai yang semakin buruk pada tahun ini.
Hamidah Hassan, 68, berkata, rumah dua tingkat di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit itu dihuni bersama suami, Mustapa Ibrahim, 81, dan seorang anak perempuan serta tiga orang cucu.
Menurut Hamidah, dalam kejadian terbaru semalam, sebahagian ruangan anjung rumahnya runtuh selepas berlaku hakisan susulan air pasang besar dan angin kencang.
Katanya, insiden berkenaan merupakan yang paling buruk sejak menghuni rumah itu pada 2002 sehingga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Wakaf Tengah di sini.
“Hujan sangat lebat malam semalam, ditambah ombak besar yang menghempas tebing pantai dan angin kencang menyebabkan kami mula mengalihkan barang-barang ke tempat selamat.
“Pada awalnya kami memilih untuk terus berada di rumah kerana menyangkakan masih selamat namun ketika pihak berkuasa datang untuk meninjau keadaan, anjung rumah tiba-tiba runtuh.
“Bimbang akan keselamatan suami yang kurang sihat atau kejadian lebih buruk, saya serta anak dan cucu-cucu berpindah ke PPS,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut warga emas tersebut, keadaan 21 tahun lalu jauh berbeza dengan jarak rumah dan Pantai Pengkalan Maras itu berjarak lebih 100 meter selain dipisahkan pasir pantai yang luas dan ratusan pokok rhu.
Hamidah mendakwa, projek tambakan laut pembinaan landasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud lebih 10 tahun lalu dipercayai menjadi punca berlaku hakisan hampir lima kilometer di pantai berkenaan.
Menurutnya, kini tiada lagi pemandangan indah menghadap lautan sebaliknya hanya kerosakan alam dengan jarak rumah dan pantai tidak sampai lima meter terutama di musim tengkujuh.
“Hari ini anjung sudah runtuh, esok atau lusa mungkin rumah kami pula dihanyutkan ombak kerana hakisan ini ‘memakan’ tebing tanah sedikit demi sedikit setiap tahun,” tambahnya. – UTUSAN










