Pulau Pinang: Gangguan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya hari ini - Utusan Malaysia

Pulau Pinang: Gangguan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya hari ini

CHOW Kon Yeow (tengah) merasmikan majlis pecah tanah pembinaan bangunan tambahan Hospital Kebajikan Kek Lok Si, di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Gangguan bekalan air tidak berjadual di negeri ini khususnya di daerah Barat Daya sejak beberapa hari lalu dijangka pulih sepenuhnya hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini pemulihan gangguan bekalan air itu yang memasuki hari keenam terutama di kawasan hujung laluan (EoL) dan kawasan lebih tinggi telah mencapai 97 peratus.

CHOW KON YEOW

”Ada beberapa kawasan yang sedang dalam proses untuk memperoleh semula bekalan.

”Dipercayai ia ambil masa yang sedikit panjang sebab ada kawasan yang menerima air dan mereka gunakan air, mungkin isi tangki-tangki menyebabkan kawasan yang di hujung sekali lambat terima air, saya harap pada hari ini juga dapat capai 100 peratus,” katanya di Hospital Kebajikan Kek Lok Si, di sini hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow merasmikan majlis pecah tanah pembinaan bangunan tambahan hospital berkenaan setinggi tiga tingkat.

Sebelum ini, kira-kira 200,000 pengguna air di Barat Daya (bahagian pulau) dan Seberang Perai (kawasan seberang) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Selasa lalu.

Ia susulan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah.

Setakat petang semalam, lebih 70 peratus pengguna terjejas mula menerima bekalan air.

Menerusi laman Facebook Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebanyak 9,760 pengguna di kawasan antaranya di Lebuh Relau, Teluk Kumbar, Batu Maung, Pulau Betong dan lain-lain masih berdepan gangguan bekalan air.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai rungutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz mengenai kawasan di Sungai Ara dan Bayan Lepas yang sering menjadi kawasan terakhir menerima bekalan air, Kon Yeow menjelaskan, ini kerana kawasan tersebut terletak di kawasan sistem air yang paling hujung sekali di negeri ini.

”Ini bukan satu alasan, memang kawasan ini (Sungai Ara, Bayan Lepas) dalam sistem berada paling hujung dan ia adalah sistem yang telah wujud sebelum ini.

”Untuk tangani isu sedemikian kalau ada sistem bekalan air terawat dari Perak ke Pulau Pinang, kuantiti air boleh ditambah ke kawasan berkenaan.

”Ia satu penyelesaian jangka sederhana serta panjang, bukan kita tidak ada rancangan, ia sudah mula sejak banyak tahun lagi tetapi sehingga sekarang tidak ada persetujuan,” katanya.

Sementara itu, katanya, gangguan air tidak berjadual itu juga memberi peluang kepada kerajaan negeri dan PBAPP memperkemas langkah-langkah untuk menghadapi gangguan air berjadual selama empat hari tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya