PETALING JAYA: Kuasa politik orang Melayu dikhuatiri lemah malah lenyap pada masa akan datang jika Perdana Menteri Malaysia, dilantik dalam kalangan bukan Melayu.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, sekiranya impian veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang melihat Perdana Menteri dalam kalangan bukan Melayu tercapai, ia bermakna orang Melayu sudah berpecah-belah.
Bekas Ketua Penerangan UMNO itu menegaskan, ia bukan melibatkan isu 3R (agama, raja dan kaum), sebaliknya melibatkan Perlembagaan Persekutuan dan negara.
“Pada ketika Kit Siang impikan itu berlaku sebegitu, maksudnya sama ada kita (Melayu) sudah berpecah-belah sampai tiada kuasa langsung atau kuasa pemimpin Melayu sudah hilang sekaligus menimbulkan kegusaran.
“Sebab, bila cakap Perdana Menteri bukan dari Melayu, simboliknya menggambarkan satu hari nanti Malaysia menuju ke arah matlamat yang diimpikan DAP selama ini. Ketika itu, kuasa politik Melayu macam mana? Maksudnya, kuasa politik Melayu lemah.
“Kalau UMNO sendiri menutup sebelah mata apabila ada yang cabar perkara ini dan buat kenyataan meneruskan Malaysian Malaysia with impunity, ini yang menimbulkan kegusaran,” katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian dalam rancangan temubual podcast (audio siar) yang disiar secara eksklusif oleh MMTV dihoskan oleh Ketua Pengarang Berita Utusan Malaysia, Aznan Bakar dan Ketua Unit MMTV, Roshihan Annuar Yub.
Pada 29 November lalu, Kit Siang dilaporkan mengeluarkan kenyataan mengenai ‘Impian Malaysia’ yang disuarakan kepada pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) dengan menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
Susulan kenyataan itu, beliau telah dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi kenyataan yang didakwa menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, siasatan polis berhubung kandungan penulisan dalam blog limkitsiang.com pada 30 November lalu, yang menyentuh isu Perlembagaan berhubung pelantikan Perdana Menteri Malaysia.
Penulisan disiasat bertajuk ‘Malaysian Constitution Provides For a Malaysian Dream And Not a Mono-Ethnic Dream As It Provides That a Non-Malay Can Be a Prime Minister’ (Perlembagaan Malaysia menjanjikan impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal kerana Perlembagaan tidak menghalang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri).
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri, dan calon Perdana Menteri sama ada dari kerajaan atau pembangkang pada masa hadapan adalah kekal daripada kaum Melayu.
Mengulas lanjut, Isham berkata, Perikatan Nasional (PN) dilihat sedang mengambil alih peranan UMNO yang sebelum ini sinonim dengan penyatuan orang Melayu.
Beliau ditanya mengenai UMNO selama 60 tahun penguasaannya dan penyatuan orang Melayu, namun kuasa politik parti itu semakin hilang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PRU-15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kemaman.
“Trend ini sedang dan telah berlaku, sebab itu sebelum ini rakyat Melayu sudah menolak UMNO dan memilih PN. Pada pilihan raya negeri sebelum ini pun, akar umbi kita sendiri menolak dan memilih PN sebab UMNO dilihat tidak kena dengan perjuangan asalnya lagi,” katanya. – UTUSAN










