PETALING JAYA: Dianggarkan lebih 40 peratus daripada 23,869 banduan reman yang sedang menjalani hukuman adalah pesalah dadah berulang sekali gus menyumbang kesesakan dan peningkatan kos kerajaan untuk mengurus penghuni 47 penjara di seluruh negara.
Mereka adalah antara banduan reman disabitkan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan pengambilan dadah berulang, malah penagih dituduh di bawah undang-undang itu tidak boleh dijamin.
Mengikut statistik Jabatan Penjara sehingga 16 Oktober lalu, jumlah penghuni yang sedang menjalani hukuman dan ditahan di seluruh institusi penjara adalah 65,758 orang dengan pecahannya merangkumi 41,889 orang atau 63.70 peratus adalah banduan sabitan manakala selebihnya iaitu 36.3 peratus atau 23,869 banduan adalah tahanan reman.
Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini pernah melaporkan, sepanjang tempoh Januari hingga Mac lalu sahaja seramai 2,135 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB dituduh di bawah Seksyen 39C dengan daripada jumlah tersebut, 1,189 individu disabitkan kesalahan di bawah seksyen sama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Penempatan Dan Pemulihan Penjara (Pemaaf), Mohd. Shahirul Khalid Mohamad berkata, peruntukan undang-undang sedia ada menjadikan penjara kini bukan tempat pemulihan penagih dadah, sebaliknya mengurung mereka tanpa membawa jalan keluar daripada permasalahan tersebut.
Katanya, lebih mengejutkan punca penagihan bahan terlarang berulang kerana tiada rawatan pemulihan dilakukan penjara sekali gus menjadi faktor penagih melakukan jenayah lain seperti mencuri selepas keluar dari tirai besi kerana mahu membeli dadah.
“Seksyen 39C ADB adalah satu seksyen memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan memberikan diri sendiri dadah yang berulang. Ia bermaksud sekiranya penagih dadah pernah dituduh dan dijatuhkan hukuman menggunakan dadah di bawah Seksyen 15(1) ADB dua kali sebelum ini, bagi kesalahan buat kali ketiga, mereka dihukum di bawah Seksyen 39C.
“Memandangkan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya itu menetapkan pertuduhan tidak boleh dijamin, maka, mana-mana orang kena tuduh (OKT) terus dihantar ke penjara selepas didakwa di mahkamah,” katanya.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan sebanyak 36.3 peratus atau 23,869 daripada 67,758 banduan yang ditahan di 47 buah penjara di seluruh negara adalah tahanan reman membabitkan pelbagai kes jenayah terutama dadah.
Tahanan tersebut turut membabitkan OKT yang tidak mampu membayar wang ikat jamin walaupun hanya dituduh melakukan kesalahan kecil seperti mencuri barang-barang di pasar raya dan lain-lain premis.
Dengan jumlah 23,869 tahanan reman kerajaan terpaksa membelanjakan kos makanan RM338 juta setahun mengambil kira kos setiap tahanan RM50 sehari.
Dalam pada itu, Mohd. Shahirul berkata, sudah tibanya pihak berkuasa menambah baik perundangan penyalahgunaan dadah dengan menempatkan penagih di institusi atau rawatan pemulihan komuniti agar diberikan rawatan sebagai jalan keluar penggunaan bahan terlarang tersebut.
Katanya, tindakan menghantar ke penjara tidak pernah menyelesaikan masalah apabila ia menambah beban kerajaan apabila terpaksa menanggung kos sebanyak RM50 bagi setiap tahanan dan lebih mendukacitakan, mereka mengulanginya sebaik sahaja dibebaskan.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai agensi pemulihan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) manakala terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai pusat pemulihan dan modul rawatan untuk membimbing penagih.
“Bayangkan terdapat sebuah pusat pemulihan AADK hanya mempunyai 200 individu disahkan penagih dadah, sedangkan mempunyai kapasiti 1,000 orang. Jadi adalah lebih baik mereka ditempatkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik AADK sebagai jalan keluar masalah ini.
“Kerajaan hanya perlu menambah peruntukan kepada AADK manakala bebanan daripada kesesakan dan kos pengurusan penjara dapat dikurangkan dengan cara penyelesaian ini,” katanya. – UTUSAN










